Berita

Fokus basmi kemiskinan bandar

SEORANG peserta memberikan pandangan kepada anggota panel pada Seminar Membasmi Kemiskinan Bandar di Putrajaya pada Disember lalu. - Gambar hiasan
- Diterbit 31 Januari 2020 7:02 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Per­sekutuan akan menjadikan usaha membasmi ke­miskinan bandar sebagai fokus utamanya sepanjang tahun 2020.

Menterinya, Khalid Abd. Samad berkata, satu pelan induk atau blueprint tindakan akan dihasilkan antara Jun hingga September ini hasil daripada resolusi Seminar Membasmi Kemiskinan Bandar yang telah dianjurkan pihak kementerian pada Disember lalu.

‘’KWP akan memberi tumpuan kepada beberapa program yang menepati hala tuju umum ‘Wilayah Peduli, Harapan Dipenuhi’ iaitu mengatasi masalah kemiskinan bandar.

‘’Pelaksanaan blueprint berkenaan akan mewarnai pendekatan setiap program KWP dan seterusnya meningkatkan taraf sosio ekonomi golongan terlibat,’’ katanya pada sidang akhbar mengenai hala tuju KWP bagi tahun 2020 di sini baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Setia­usaha kementerian, Datuk Rosida Jaafar.

Seminar Membasmi Kemiskinan yang dianjurkan kementerian bersama Yayasan Wilayah Persekutuan dan Majlis Belia Wilayah Persekutuan pada 5 Disember lalu membentangkan 16 kertas kajian daripada pelbagai pihak dan agensi.

Dalam pada itu, Khalid berkata, KWP juga akan melaksanakan konsep Wilayah Persekutuan sebagai Wilayah Pintar.

‘’Ia akan diuruskan di bawah Jawatankuasa Bandaraya Pintar Wilayah Persekutuan yang akan diketuai PLANMalaysia dan dianggotai oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya, Perbadanan Labuan, pihak awam dan swasta yang berkepentingan.

‘’Jawatankuasa ini juga akan memantau perlaksanaan kemudahan internet ber­kelajuan tinggi generasi kelima (5G) bagi Wilayah Persekutuan,’’ katanya.

Selain itu, beliau berkata, mengatasi masalah projek terbengkalai dan projek pembangunan semula juga merupakan cabaran kepada KWP dan DBKL.

‘’Kita beri inisiatif khas kepada pemaju-pemaju yang mana hendak buat pembangunan semula dan menangani masalah projek terbengkalai seperti Plaza Rakyat yang terbengkalai lebih 20 tahun akan diselesaikan dan beberapa projek lagi dalam pemantauan pihak kami,’’ katanya.

Sementara itu, jelas beliau, kerajaan juga akan memberikan insentif kepada pemaju untuk melaksanakan pembangunan semula flat-flat lama lima tingkat yang berumur 30 hingga 40 tahun.

‘’Pihak pemaju perlu berunding dengan pemilik dan KWP akan bertindak sebagai fasilitator dalam proses rundingan tersebut,’’ katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas