Artikel

Mahu ulangi kejuaraan tahun lalu

AMISYA (depan dua dari kanan) bersama pasukan dalam satu kejohanan.
AMISYA (depan dua dari kanan) bersama pasukan dalam satu kejohanan.
- Diterbit 17 Ogos 2019 6:02 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

PUTRAJAYA – Pemain bola jaring Kuala Lumpur, Nur Amisya Khairudin, 20, yakin bakal terpilih untuk beraksi pada Kejohanan Terbuka Kebangsaan 2019 yang bakal berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara Oktober ini.

Dia yang berada di bawah kelolaan jurulatih berpengalaman, Norizan Rejab merupakan antara 16 pemain bawah 21 tahun yang bakal dipilih untuk mewakili pasukan Kuala Lumpur pada kejohanan yang bakal berlangsung itu.

Menurut pemain kelahiran Kuala Lumpur yang juga pernah beraksi pada temasya yang sama tahun lalu, dia yakin bakal mengulangi takhta juara yang pernah disandang bersama pasukan pada tahun 2018 yang lalu.

“Andai terpilih di antara 12 pemain yang terbaik kali ini, saya yakin pasukan Kuala Lumpur bakal merebut tempat pertama dalam perlawanan bersama pasukan bola jaring dari seluruh Malaysia,” ujarnya yang dinobatkan sebagai Pemain Remaja Terbaik Kebangsaan 2019.

Katanya lagi, jurulatih­nya kini serius dalam melatih skuad Kuala Lumpur dan akan memastikan layak untuk ber­aksi pada Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 2020 yang akan dianjurkan pada tahun hadapan.

Justeru, dia terus mena­nam impian dan optimis untuk mempamerkan kebolehannya dalam kejohanan tersebut malah komited melakukan latihan secara konsisten bersama jurulatih pada setiap minggu.

Tambahnya yang bermain di posisi penyerang, dia memerlukan tahap kecergasan dan ketangkasan tinggi serta perlu memperbanyakkan kemahiran untuk bergelar pemain terbaik sekaligus membantu pasukan sendiri.

“Kebiasaannya perubahan taktikal menjadi senjata utama skuad. Untuk itu, setiap pemain perlu bersedia dalam apa jua keadaan yang mendatang,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Amisya pernah bermain dalam Kejohanan Remaja Dunia bawah 21 tahun bersama pasukan Malaysia di Bostwana, Afrika.

Dalam sukan yang berlangsung pada tahun 2017 itu, pasukannya mendapat tempat ke-18.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas