Artikel

20 anak Pertubuhan Kasih Nurhati terima sumbangan kelengkapan sekolah

PENERIMA tersenyum gembira selepas menerima sumbangan kelengkapan sekolah dan kotak makanan di Aeon Big Ampang, Selangor.
- Diterbit 14 Januari 2022 7:42 AM MYT

SERAMAI 20 orang anakanak dari Pertubuhan Kebajikan Nurhati gembira apabila menerima sumbangan kelengkapan sekolah dan kotak makanan menerusi program Back to School di Aeon Big Ampang, Selangor baru-baru ini.

Prihatin dengan kekangan yang dihadapi oleh keluarga dan pelajar yang bakal memulakan persekolahan, Persatuan Empayar Kebajikan Malaysia (Empire Project) bersama Agromate Holdings Sdn Bhd tampil menghulurkan sumbangan kepada pelajar yang terdiri daripada golongan asnaf, anak yatim dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Penganjur program yang juga Presiden Empire Project, Ashraff Khan Md Najib berkata, seramai 60 orang pelajar dari Sekolah Kebangsaan Dusun Nanding yang terlibat dengan banjir di Hulu Langat turut terpilih dalam menjayakan program ini.

“Program Back to School ini adalah program tahunan Empire Project.

“Turut serta dalam menjayakan program Back to School adalah pemberian kotak makanan dan beg sekolah sumbangan daripada NGO Dana Kita,” ujarnya.

KOTAK makanan dan beg sekolah sumbangan daripada NGO Dana Kita.

Menurut Ashraff Khan, program Back to School pada tahun ini telah dijalankan di empat buah lokasi yang berbeza iaitu di Mydin Gong Badak, Aeon Big Batu Pahat, Aeon Big Danau Kota dan Aeon Big Ampang.

PELAJAR mencuba pakaian sekolah baru hasil sumbangan Empire Project dan Agromate Holdings Sdn Bhd.

“Murid-murid yang terpilih dalam program ini diberi peruntukan sebanyak RM200 setiap seorang untuk membeli barangan keperluan sekolah di Aeon Big Ampang.

“Empire Project akan meneruskan pelaksanaan program Back to School pada tahun hadapan dan berharap penerima sumbangan akan lebih banyak serta meluas,” tambahnya.

Di samping itu, Pengurus Aeon Big, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata beliau amat berbesar hati atas jalinan kerjasama yang terpahat antara Empire Project dan Agromate Holdings Sdn Bhd di mana memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

“Saya amat berbesar hati atas kerjasama yang terjalin pada program Back to School pada tahun ini,” kata Chin Yin Chung pula selaku wakil Agromate Holdings Sdn Bhd.

Pelaksanaan yang jitu dan tersusun sudah tentunya hadir melalui kerjasama dan kesepakatan yang terbaik dalam kalangan 15 sukarelawan Empire Project yang turut serta dalam setiap program yang dilaksanakan.

“Kami memiliki sukarelawan yang komited dan senantiasa hadir dalam melancarkan sesuatu pelaksanaan program.

“Semoga program Back to School yang akan dijalankan pada tahun hadapan berupaya membantu lebih ramai murid yang kurang berkemampuan untuk menerima barangan keperluan sekolah seperti muridmurid lain,” kata Ashraff Khan yang juga berharap agar lebih ramai agensi akan turut serta dalam menjalinkan kerjasama dengan Empire Project demi kemaslahatan dan kebaikan kedua-dua belah pihak.

Masyarakat Malaysia yang ingin menyumbang dalam Tabung Empire Project bolehlah berbuat demikian melalui akaun rasmi Persatuan Empayar Kebajikan Malaysia (Empire Project) – Maybank: 564061431661.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas