Berita

Luqman sah milik KV Kortrijk

lUQMAN Hakim (dua kanan) bakal berkelana ke Belgium.
- Diterbit 6 Ogos 2020 7:39 AM MYT

PENYERANG muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin akhirnya sah menyertai kelab bola sepak, KV Kortrijk yang bersaingan dalam Liga Belgium.

Dia secara rasminya menandatangani kontrak bersama pasukan kelab miliki Tan Sri Vincent Tan dengan kontrak selama lima tahun.

Menurut Luqman Hakim, dia amat bersyukur setelah semua proses untuk dirinya berkelana ke Belgium akhirnya selesai dan bakal bersaing dalam Liga Divisyen Pertama A Belgium pada musim depan.

“Saya bersyukur dan ingin mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Vincent Tan, Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) dan Program Pembangunan Bola Sepak Negara Malaysia (NFDP),” ujar Luqman.

Dia turut berbangga akhirnya dapat beraksi di Eropah namun perasaan tertekan dan gemuruh beraksi di tempat baru sentiasa akan hadir.

“Saya perlu melawannya dan cuba memberikan yang terbaik di sana nanti,” tambahnya.

Sementara itu, Tan Sri Vincet Tan ketika ditemui percaya Luqman mampu membuktikan sesuatu menerusi peluang beraksi di Belgium.

“Walaupun pihak pengurusan berpandangan Luqman agak terlalu muda untuk menyertai pasukan tersebut, tetapi kami mahu memberikan peluang kepadanya.

“Kita semua harus memberikan sokongan kepadanya dan mengelak daripada memberikan kata-kata negatif,” ujar Vincent.

Selain itu, dia turut berharap agar Luqman mempelajari Bahasa Inggeris serta memberikan yang terbaik serta berusaha menjaringkan gol.

Sebagai rekod, pemain muda berusia 18 tqhun itu turut tersenarai antara 60 bakat terbaik muda dunia menerusi Guardian’s Next Generation’s dan merupakan pemain Malaysia pertama yang mendapat kontrak untuk bermain di Belgium, sebuah negara yang berada di kedudukan pertama dalam ranking dunia FIFA. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas