Berita

Tujuh negeri catat pertumbuhan KDNK melepasi paras nasional tahun lalu

||MOHD UZIR
- Diterbit 6 Ogos 2020 6:47 AM MYT

TUJUH negeri mencatatkan pertumbuhan ekonomi (KDNK) melepasi paras nasional sebanyak 4.3 peratus pada 2019, dengan Selangor menerajui pertumbuhan pada 6.7 peratus sementara Wilayah Persekutuan (6.0) dan Kelantan (5.3).

MOHD UZIR

Ketua Pengarah Jabatan Perangkaan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, berdasarkan penerbitan Laporan Sosioekonomi Negeri 2019 mengenai data Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mengikut negeri yang dikeluarkan hari ini, selain daripada tiga negeri itu, Labuan mencatatkan pertumbuhan 5.2 peratus diikuti Negeri Sembilan (5.1), Kedah (4.6) dan Perlis (4.6).

Katanya, pemulihan prestasi sektor pertanian yang didorong peningkatan pengeluaran bagi aktiviti kelapa sawit, getah dan tanaman sayuran serta peningkatan bagi sektor perkhidmatan telah memberi kelebihan kepada momentum pertumbuhan di beberapa negeri yang berkaitan.

“Berdasarkan laporan itu, bilangan siswazah di Malaysia adalah seramai 5.3 juta orang pada tahun 2019, ia meningkat 6.9 peratus daripada 4.9 juta orang pada tahun 2018.

“Kadar penyertaan tenaga buruh siswazah (KPTBS) adalah 83.5 peratus, menurun 0.1 peratus berbanding 83.6 peratus pada tahun 2018,” katanya.

Menurut Mohd Uzir, Selangor dan Sabah mencatatkan KPTBS tertinggi pada tahun 2019 dengan 86.5 peratus, diikuti WP Putrajaya 85.9 peratus dan Sarawak 85.3 peratus.

Sementara itu, katanya, KPTBS terendah dicatatkan Perlis dengan kadar 76.1 peratus.

Ujarnya, berdasarkan hasil Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2019, Kuala Lumpur mencatatkan pendapatan penengah tertinggi iaitu RM10,549 diikuti Putrajaya (RM9,983), Selangor (RM8,210), Labuan (RM6,726), Johor (RM6,427), Pulau Pinang (RM6,169) dan Melaka (RM6,054).

“Bagi tempoh 2016 hingga 2019, Putrajaya mencatatkan peningkatan tertinggi purata pertumbuhan tahunan bagi pendapatan penengah iaitu 6.3 peratus, melebihi pertumbuhan penengah nasional (3.9 peratus),” jelasnya.

Sementara itu, tambah Mohd Uzir, penurunan bagi kadar pengangguran direkodkan di lapan negeri antaranya Terengganu, Johor, Pulau Pinang, Sarawak dan Putrajaya.

“Melaka merupakan negeri yang merekodkan kadar pengangguran terendah pada tahun 2019 dengan 1.1 peratus.

“Maklumat ekonomi dan sosial yang diintegrasikan ini akan memberi input yang bermanfaat kepada penggubal dasar negeri dan penyelidik untuk merangka pelan pembangunan dan hala tuju negeri masing-masing,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas