Berita

Kluster Sivagangga: Enam lagi kes baharu dikesan

DR NOOR HISHAM ABDULLAH
- Diterbit 6 Ogos 2020 12:21 PM MYT

ENAM daripada 15 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan dalam negara hari ini, dikesan daripada kluster Sivagangga di Kedah.

Perkara itu dinyatakan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah selepas mendapati kesemua kes adalah daripada generasi kedua kluster itu dengan lima daripadanya merupakan satu keluarga yang mempunyai sejarah mengunjungi satu daripada kawasan yang kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Mereka dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan. Punca jangkitan dalam keluarga tersebut masih dalam siasatan,” katanya dalam sidang media harian mengenai perkembangan pandemik itu, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, satu lagi kes daripada kluster berkenaan pula mempunyai kontak rapat kepada ahli keluarganya yang pernah mengunjungi kedai makan yang terbabit dalam kluster ini.

“Individu berkenaan mula mengalami gejala saluran pernafasan pada 2 Ogos. Dia kemudiannya dikesan positif Covid-19 pada 5 Ogos dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah.

“Ahli keluarganya turut disaring untuk Covid-19 dan masih menunggu keputusan,” katanya menambah bahawa saringan kontak rapat kes-kes positif kluster ini dan aktiviti pengesanan kes secara aktif.

Beliau berkata, sehingga hari ini, seramai 2,351 orang telah disaring dalam kluster berkenaan, dengan 30 kes dikesan positif, 1,617 negatif manakala 704 lagi yang mana pensampelan diambil semalam, masih menunggu keputusan.

“Ingin dimaklumkan daripada siasatan yang dijalankan ke atas kes ke-9,023 dari Kulim (kes yang dilaporkan pada 5 Ogos), seramai 15 kontak rapat pesakit dikenal pasti dan disaring. Punca jangkitan kes ini masih dalam siasatan,” katanya.

Mengulas lanjut, kata Dr Noor Hisham, selain enam kes baharu kluster Sivagangga, dua lagi kes dikesan di Negeri Sembilan hasil saringan di tempat kerja dan satu daripada saringan di Pintu Masuk Antarabangsa, Labuan.

Katanya, dua lagi kes melibatkan bukan warganegara dengan satu kes di Negeri Sembilan, daripada kes saringan tahanan yang merupakan pendatang tanpa izin dan satu lagi di Kuala Lumpur daripada kes saringan komuniti bersasar.

Dalam pada itu, menurutnya, lima daripada 15 kes baharu hari ini merupakan kes import yang melibatkan tiga warganegara dan dua bukan warganegara dengan empat daripadanya pulang daripada Filipina melalui Sabah, dan satu dari Afrika Selatan melalui Kuala Lumpur.

Dr Noor Hisham berkata, 15 kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 9,038 kes, dengan jumlah kes aktif kebolehjangkitan Covid-19, sebanyak 200 kes.

Menurutnya lagi, sehingga 12 tengah hari tadi, sebanyak 11 kes telah pulih sepenuhnya, menjadikan jumlah keseluruhan adalah sebanyak 8,713 kes atau 96.4 peratus.

Beliau berkata, sehingga kini, terdapat dua kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi, di mana satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini. Oleh itu, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes.” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas