Berita

Lorong Kwai Chai Hong bawa ke zaman silam

ORANG ramai boleh merasai sendiri keunikan mural di Lorong Kwai Chai Hong.
ORANG ramai boleh mengunjungi Jalan Kwai Chai Hong untuk merasai sendiri keudikan dan kecantikan mural yang terdapat di situ.
- Diterbit 9 Ogos 2019 10:02 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]
Foto Nazirul Roselan

PROSES pemulihan lorong belakang di tengah bandar raya Kuala Lumpur kini giat dijalankan bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia (TMM2020).

Antara salah satu lorong belakang yang telah melalui proses pengindahan semula adalah Lorong Kwai Chai Hong berhampiran Jalan Petaling atau lebih dikenalai sebagai ‘China Town’ yang sering menerima kunjungan
pelancong dalam dan luar negara.

Projek pengindahan lorong belakang ini pastinya akan menarik pengunjung yang menghargai warisan dan seni jalanan melalui mural yang dilukis pada dinding- dinding belakang.

Lorong Kwai Chai Hong merupakan salah satu laluan bersejarah yang telah digunakan sejak 50 tahun lalu. Ia dikenali sebagai Lorong Prankster atau Lorong Panggung oleh penduduk tempatan.

Projek pengindahan Lorong Kwai Chai Hong melibatkan 10 unit rumah kedai yang dikategorikan sebagai bangunan warisan yang sebaris dengan Jalan Petaling.

Projek yang mengambil masa tujuh bulan untuk disiapkan dilakukan bagi memulihkan bangunan warisan yang mencerminkan pendatang awal China yang tinggal di kawasan itu pada sekitar tahun 1960-an.

Menurut penduduk tempatan, istilah “Kwai Chai Hong” dipercayai mempunyai tiga makna.

Salah satunya ialah pekerja asing dari China yang menetap di sini menggunakan slanga bahasa “kwai chai” (hantu kanak-kanak atau setan kecil) untuk merujuk kepada kanak-kanak nakal yang berlari di sekitar Lorong Panggung.

Cerita lain pula ada yang mendakwa bahawa Lorong Panggung adalah tempat persembunyian “Dragon Tiger Clan” yang bosnya dipanggil sebagai “Little Ghosts”.

Ada juga kisah yang mengingatkan kepada nama ‘Kwai Chai’ yang digunakan untuk menangani ahli-ahli kumpulan kongsi gelap yang dikatakan ‘memiliki’ lorong belakang itu lalu menamakannya sebagai ‘Kwai Chai Hong’.

Walau apa jua nama dan tinggalan sejarah yang ada di kawasan tersebut, keputusan untuk mengindahkan semula merupakan satu keputusan yang tepat. Malah kawasan itu dibangunkan dengan pendekatan yang lebih halus iaitu melalui lukisan atau mural yang pastinya mencuri tumpuan para pelancong.

Perjalanan memasuki ke Kwai Chai Hong bermula dengan lengkungan dan empat bangunan unik yang dibina antara tahun 1884 dan 1906.

Walaupun bangunan-bangunan itu dibina semasa penjajahan British, ia dipercayai telah dibina mengikut senibina Guangdong Xiguan.

Melewati lorong demi lorong di kawasan ini, suasana awal penempatan masyarakat Cina di Kuala Lumpur digambarkan melalui mural.

Ia begitu mengasyikkan dan pengunjung seolah-oleh dibawa menyelusuri penempatan tersebut ketika itu.

Di luar gerbang itu adalah “Jambatan Merah” yang terkenal yang dibina untuk menutup pintu belakang restoran yang membuka jalan ke Kwai Chai Hong.

Untuk mewujudkan pengalaman yang amat bernilai dan mendalam’, kod QR juga dipasang di kawasan yang membolehkan orang ramai mengalami lukisan mural interaktif melalui penglihatan dan bunyi yang dihasilkan.

Di bahagian atas jambatan, mural interaktif pertama disediakan.

Anda boleh melihat mural pasangan yang duduk di atas jambatan dengan bunyi audio yang dimainkan melalui kod QR. Apa yang menarik apabila terdapat perbualan antara pasangan semasa temujanji tahun 1960-an.

Kira-kira 10 meter di sebelah kanan jambatan itu lampu tertua Kuala Lumpur yang dipercayai digunakan pada tahun 1903 hingga 1904 ketika elektrik pertama tiba di ibu kota masih teguh berdiri.

Projek Kwai Chai Hong memberi nafas baharu kepada pelancongan di sekitar Jalan Petaling.

Pengunjung-pengunjung sudah pasti teruja mengabadikan gambar kenangan di lorong tersebut dalam media sosial masing-masing.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas