Berita

Kursus keusahawanan semarakkan ekonomi tempatan

ROZMAN (tengah) bergambar bersama peserta kursus Keusahawanan anjuran Kemas daerah Labuan baru-baru ini.
ROZMAN (tengah) bergambar bersama peserta kursus Keusahawanan anjuran Kemas daerah Labuan baru-baru ini.
- Diterbit 9 Ogos 2019 10:00 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

LABUAN – Orang ramai perlu merebut peluang menyertai kursus-kursus keusahawanan yang dijalankan agensi kerajaan antaranya Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Menurut Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli, kebanyakan kursus keusahawanan ini dianjurkan di Lembah Klang atau bandar besar lain oleh pihak swasta dan ia agak mahal.

“Atas usaha kerajaan untuk mengurangkan jurang kemiskinan, inisiatif untuk menganjurkan kursus keusahawanan wajar disambut baik warga Labuan kerana kebanyakan kursus seumpama ini dibangunkan oleh kerajaan tanpa sebarang bayaran yang dikenakan.

“Malahan kursus-kursus ini adalah mengikut keperluan dan kehendak pasaran untuk membentuk usahawan masa kini,” katanya ketika merasmikan Kursus Quick Win Jahitan Kreatif dan Masakan anjuran Kemas daerah Labuan baru-baru ini.

Menurut Rozman lagi, rakyat di Labuan bertuah kerana keprihatinan kerajaan membiayai pembelian peralatan kepada peserta yang layak.

“Para usahawan ini bertuah kerana kerajaan sangat perihatin untuk terus memberi bantuan kepada warga luar bandar terutama kaum wanita yang berniaga dengan menyediakan kursus-kursus oleh jurulatih profesional.

“Dengan inisiatif ini, usahawan kecil di sini mendapat ilmu yang penting bagi meningkatkan daya saing dan kemahiran untuk meningkatkan kepelbagaian serta kualiti produk di samping peningkatan keupayaan pemasaran dan pengurusan perniagaan serta kewangan” katanya.

Kata Rozman lagi, beliau yakin pasaran di Labuan akan melonjak lebih besar apabila bermula tahun hadapan penguatkuasaan dasar baharu Kementerian Kewangan terhadap syarikat-syarikat yang akan beroperasi di Labuan.

“Semua syarikat yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) akan diwajibkan untuk membuka pejabat operasi di Labuan dengan kakitangan minimum seramai dua orang.

“Dengan dasar baharu itu, ribuan pejabat baru di Labuan dijangka akan dibuka dan peluang pekerjaan pasti akan meningkat.

“Sudah tentu permintaan kepada pelbagai produk dan perkhidmatan akan melonjak. Jadi kursus yg mereka hadiri itu adalah sebahagian dari persiapan untuk kemajuan ekonomi dan pasaran yang lebih rancak dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas