Berita

LIS laksana sistem pembayaran tanpa tunai

JAFFREE (depan, kiri) dan Safwan menandatangani MoU antara Fullrich
- Diterbit 26 Januari 2020 2:34 PM MYT

LABUAN – Syarikat penyedia e-Dompet, Fullrich Malaysia dan jenamanya, TaPay menjalinkan kerjasama dengan Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS) dalam usaha meningkatkan keupayaan sistem sekolah pintar di negara ini.

Sejajar untuk memacu sistem pendidikan ke arah pendigitalan, satu memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara kedua-dua pihak bagi membolehkan mereka memanfaatkan sepenuhnya teknologi yang dimiliki Fullrich Malaysia.

Pengerusi Fullrich Malaysia dan TaPay, Sun JianWei berkata, di bawah memorandum persefahaman (MoU) itu kedua-dua belah pihak bekerjasama rapat bagi memenuhi kepentingan bersama selain mempermudahkan usaha membangunkan teknologi dalam sistem persekolahan dan meningkatkan kesedaran ke arah masyarakat tanpa tunai.

Beliau berkata, antara perkara yang akan dirintis ialah pelaksanaan sistem pembayaran tanpa tunai di kafeteria sekolah dan rekod kedatangan menggunakan QR kod.

‘’Teknologi ini membuka jalan kepada guru-guru dan para pelajar untuk menikmati lebih kebebasan, keselamatan dan kawalan di dalam kelas serta persekitaran sekolah dengan menggunakan teknologi mesra pengguna.

‘’Projek ini merupakan yang kedua selepas berjaya melancarkan MSU Mobile App November lalu,’’ katanya.

Majlis menandatangani MoU yang diadakan di LIS itu disaksikan oleh Yang Dipertua Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan Ketua Pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan (FSA) Labuan, Danial Mah Abdullah.

Mou itu ditandatangani Naib Presiden Fullrich Malaysia, Safwan Abu Zarin manakala LIS diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jaffree Ismail.

Sementara itu, Jaffree ber­kata, LIS mengadakan kerjasama dengan Fullrich Malaysia dan TaPay sebagai salah satu sumbangan untuk mempercepatkan peralihan kepada sistem pembayaran elektronik yang memberikan manfaat dari segi penjimatan kos dan keberkesanan proses pembayaran.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas