Berita

Bendera Wilayah berkibar megah

AMIR (belakang, lima dari kanan) dan Fary bersama murid-murid sekolah kelihatan ceria
- Diterbit 26 Januari 2020 2:32 PM MYT

LABUAN – Lebih 4,000 warga Labuan meriahkan Majlis Pelancaran Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan peringkat Labuan di Dataran Labuan baru-baru ini.

Majlis itu turut diadakan serentak di Kuala Lumpur dengan tema sambutan ‘Sayangi Wilayahku’.
Program yang berlangsung seawal pukul 6.30 pagi itu dimulai dengan Kayuhan Kibar Bendera Wilayah Persekutuan bermula di Dataran Labuan melibatkan perjalanan sejauh 26 kilometer oleh Kelab Berbasikal ‘Road Cyclist Labuan’ dengan penglibatan seramai 250 peserta.

Selain itu, acara Car Free Day, Zumba dan Fitness Dance yang dikelolakan Kelab Sukan, Kebudayaan dan Kebajikan (KSKK) Perbadanan Labuan turut memeriahkan program ini.

Sambutan berwarna-warni Perarakan Semarak Wilayahku Charity and Fun Walk melibatkan 43 kontinjen telah disertai kira-kira 2,000 peserta dalam acara santai berjalan kaki di sekitar bandar Labuan.

Kemuncak program tersebut ialah upacara menaikkan tiga bendera iaitu Jalur Gemilang, bendera Wilayah Persekutuan dan bendera Wilayah Persekutuan Labuan yang diketuai oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan dibantu oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Selain itu, aktiviti lain seperti cabutan tiket bertuah, peraduan mewarna kanak-kanak dan penyampaian hadiah berjaya menarik penglibatan pelbagai lapisan masyarakat.

Terdahulu pelancaran program itu disempurnakan Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Seri Amir Hussien.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman berkata, kempen kibar bendera itu diadakan bagi menyemai rasa bangga kepada simbol Wilayah Persekutuan itu.

“Kempen ini juga dapat mendidik warga Wilayah Persekutuan Labuan tanpa mengira kaum supaya mencintai dan menghormati bendera,’’ katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.

Kempen kibar bendera itu juga mendapat sokongan daripada tiga syarikat yang utama di Labuan iaitu Petronas Chemicals Methanol Sdn. Bhd. (Labuan), Labuan Financial Services Authority (Labuan FSA) dan Financial Park Labuan (FPL).

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas