Berita

Lima wanita Vietnam disyaki pelacur diberkas

- Diterbit 5 Februari 2021 12:43 PM MYT

LIMA wanita warganegara Vietnam disyaki pelacur diberkas dalam satu Operasi Tindakan Khas Ke Atas Premis Rumah Urut di Wisma Setapak, Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur hari ini.

Dalam hantarannya di laman Facebook, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, pihaknya membuat operasi tersebut berdasarkan aduan awam,

“Jabatan Penguatkuasaan DBKL telah membuat siasatan dan risikan awal selama tiga hari dan mendapati berlakunya aktiviti tidak bermoral di lokasi berkenaan.

“Hasil serbuan yang dijalankan berjaya menahan lima wanita warganegara Vietnam disyaki pelacur dan mereka telah diambil keterangan untuk proses dokumentasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut DBKL, pihaknya mengambil tindakan penguatkuasaan dengan menutup (sealed) premis tersebut di bawah Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“DBKL turut menyita 15 unit pelbagai peralatan premis seperti monitor, kamera litar tertutup (CCTV) perakam CCTV, kondom, minyak pelincir, peralatan audio dan lain-lain.

“Tindakan penguatkuasaan dilakukan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 serta mengikut bidang kuasa dan Prosedur Operasi Standard (SOP) DBKL,” katanya.

Tambah DBKL, operasi tersebut akan diteruskan dari semasa ke semasa. – AZLAN ZAMBRY – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas