Berita

“Teruskan kebaikan walaupun orang tak suka”- TMJ beri semangat buat Ebit Lew

- Diterbit 5 Februari 2021 1:22 PM MYT

PENDAKWAH popular, Ustaz  Ebit Lew  meluahkan rasa terharunya apabila Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) berkenan menerima mengadap dirinya hari ini.

Menerusi instagramnya, Ebit Lew rasa  bertuah mendapat sokongan serta menerima sumbangan RM200,000 bagi misi kebajikan yang diusahakannya. 

“Sebak dapat berjumpa TMJ. Terharu Tuanku memberi kata semangat dan mendoakan. 

“Tuanku hadiahkan RM200,000 bagi misi saya. Tuanku juga ingin taja semua ‘team’ saya pergi umrah. Insya-Allah akan bersama Tuanku dalam kembara Johor.

“Ya Allah TMJ sangat baik. Raja yang kuat memikirkan keadaan rakyat Johor dan seluruh rakyat Malaysia. 

“Tadi panjang berbual berbincang bagaimana nak bantu orang susah dan menjaga agama Islam, mendidik anak muda dan naikkan institusi pendidikan,” tulisnya.

Ebit Lew turut rasa dihargai apabila Tunku Ismail memberikan kata-kata semangat buatnya untuk terus melakukan kebaikan meskipun ada pihak yang tidak senang.

“Saya malu sangat. Terharu akhlak dan sifat TMJ. Bayangkan dilayan macam kawan sedangkan saya orang biasa.

“Dari awal lagi masa beri bantuan TMJ selalu beri semangat pada saya. Kami selalu bermesej juga. Kata beliau yang paling berharga, ustaz teruskan kebaikan ini walau orang tak suka. Kita hidup bukan untuk popular tetapi berjaya,” ujarnya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas