Berita

Lima nelayan Vietnam ditahan

ANGGOTA Polis Marin menunjukkan barangan rampasan daripada lima nelayan warga asing yang ditahan di Pangkalan Markas Operasi Polis Marin Labuan baru-baru ini.
ANGGOTA Polis Marin menunjukkan barangan rampasan daripada lima nelayan warga asing yang ditahan di Pangkalan Markas Operasi Polis Marin Labuan baru-baru ini.
- Diterbit 17 Ogos 2019 6:12 AM MYT

LABUAN – Pasukan Polis Marin Labuan berjaya menahan sebuah kapal nelayan asing Vietnam yang menceroboh dan menjalankan aktiviti perikanan di perairan negara baru-baru ini.

Komander Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, pasukannya melibatkan empat anggota telah memeriksa kapal yang menggunakan nombor perdaftaran tempatan dalam Op Gelora (Op Naga Timur) di kedudukan laut Beting Jahat, 15 batu nautika daripada Tanjung Kubong Labuan pada pukul 11 pagi, Sabtu lalu.

“Hasil pemeriksaan mendapati kru kapal seramai lima lelaki warga Vietnam berumur antara 27 hingga 41 tahun telah menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (a) Akta sama.

“Kapal yang menceroboh perairan negara disyaki menggunakan nombor pendaftaran kapal klon yang didaftarkan di daerah Kudat, Sabah sebagai bot nelayan jenis pukat rantau seperti dinyatakan dalam lesen,’’ katanya.

Mohamad Pajeri berkata, selain itu, nelayan warga asing itu turut melanggar Seksyen 11(3)(b) Akta Perikanan 1985, kerana menggunakan peralatan perikanan yang tidak dilesenkan.

“Juragan dan kru kapal juga telah menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kapal bersama peralatan yang dianggarkan bernilai RM462,500 ditahan dan dibawa ke pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Labuan,’’ katanya. Kes diserah kepada Jabatan Perikanan Labuan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas