Berita

Nadzirah selesa bergelar jurukamera

NADZIRAH
NADZIRAH
- Diterbit 17 Ogos 2019 6:16 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

KEBIASAANNYA karier sebagai jurukamera didominasi kaum lelaki, kini seiring dengan kepesatan teknologi dan perubahan zaman, sesuatu pekerjaan tidak lagi didominasi oleh sesuatu gender sahaja, maka tugas menjadi jurukamera juga telah mula dikendalikan oleh golongan wanita.

Bagi Nadzirah Yazid 23, beliau tidak pernah menganggap karier sebagai jurukamera sebagai sukar, namun kerana minat menyebabkan dia lebih bersemangat menjalani kehidupan sebagai seorang jurukamera wanita.

“Sejujurnya, mungkin terdapat stigma adakah wanita seperti saya juga mampu untuk bekerja sebagai jurukamera seperti lelaki.

“Namun untuk mengendalikan peralatan kamera yang datang dengan pelbagai teknologi terkini, ia tidak menjadi masalah kepada golongan wanita untuk menjadikan jurukamera sebagai satu karier” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Kata Nadzirah lagi, dia telah menyimpan cita-cita untuk menjadi jurukamera sejak berumur 16 tahun.

“Ketika itu saya telah dijemput ke set pengambaran untuk sebuah program televisyen.” ujarnya.

Jelas Nadzirah lagi, beliau melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Antarabangsa (IIC) di ibu negara setelah menamatkan pengajian peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Saya mengambil kursus Multimedia dan Animasi di peringkat Diploma. Saya juga pernah menjalani latihan amali di syarikat Vision Works Sdn. Bhd. milik Datuk Afdlin Shauki.

“Dari situ, saya terlibat secara langsung dengan krew produksi dan seterusnya menguatkan lagi minat untuk menjadi jurukamera,” katanya.

Kata Nadzirah lagi, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah mengutip pengalaman bersama Yadi Sugandi, seorang sinematographer terkenal daripada Indonesia yang bertanggung jawab menjadi pengarah sinematografi untuk filem ‘Laskar Pelangi’.

“Saya merasa sangat bertuah, kerana beliau seorang yang mesra dan melayani setiap pertanyaan saya sebagai ‘orang baharu’ dalam dunia produksi.

“Beliau turut memberikan tunjuk ajar dalam pengendalian kamera serta kemahiran sinematografi supaya kualiti filem yang dihasilkan mendapat tempat di hati penonton,” katanya.

Anak kedua dari empat beradik ini berkata, walaupun ketika ini dipertanggungjawabkan untuk mencipta dan menyunting video-video pendek, ia sama sekali tidak melemahkan semangatnya untuk terus belajar demi menghasilkan karya yang berkualiti.

“Walau perjalanan masih jauh, saya menganggap cabaran yang mendatang akan mematangkan saya dalam dunia produksi ini.

“Saya bersyukur kerana kehadiran jurukamera wanita tidak pernah didiskriminasi, sebaliknya mendapat sokongan dari rakan-rakan jurukamera lelaki,” katanya lagi.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas