Berita

Aksi TUDM di Laut China Selatan teruji

KECEKAPAN anak kapal diuji melalui latihan pada Ops Bisa Daya dan Ops Taring Daya telah dilaksanakan sekitar kawasan latihan perairan Laut China Selatan baru-baru ini. Foto Twitter TUDM
KECEKAPAN anak kapal diuji melalui latihan pada Ops Bisa Daya dan Ops Taring Daya telah dilaksanakan sekitar kawasan latihan perairan Laut China Selatan baru-baru ini. Foto Twitter TUDM
- Diterbit 17 Ogos 2019 6:11 AM MYT

LABUAN – Tahap kesiapsiagaan dan kecekapan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam menghadapi sebarang ancaman keselamatan negara diuji melalui Ops Bisa Daya dan Ops Taring Daya telah dilaksanakan sekitar kawasan latihan perairan Laut China Selatan baru-baru ini.

Latihan tersebut melibatkan be­berapa pesawat TUDM iaitu Hawk, F/A-18D Hornet, Su-30MKM dan A400M.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan Latihan Op Bisa Daya dan Op Taring Daya, bagi menguji kecekapan dan keupayaan juruterbang mengendali pesawat dan melancar serangan tepat ke sasaran.

Pegawai Memerintah No 11 Skuadron TUDM, Leftenan Kolonel Mohd. Faizal Abu Bakar berkata, latihan berkenaan melibatkan sembilan buah pesawat juang jenis Sukhoi, SU30MKM dan tiga pesawat F18D Hornet.

“Latihan turut menguji dua kaliber bom baharu menerusi tembakan Misil Udara ke Udara (BVR) Jarak Dekat dan Sederhana, serta latihan tembakan udara ke Bumi,’’ katanya bercakap kepada pemberita selepas sesi latihan di Markas Pangkalan TUDM Membedai di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Faizal, latihan yang diadakan di kawasan Labuan, lapang sasar Lasarud, Kota Belud, Sabah dan sekitar perairan 200 batu nautika Laut China Selatan berjalan dengan lancar dan menepati tanda aras dikehendaki Markas Operasi Kementerian Pertahanan.

Latihan selama tiga minggu bermula pada 22 Julai lalu itu mengambil kira kelestarian sistem dan moral anggota terlibat, di samping penglibatan bersama Tentera Laut Diraja Malaysia.

Dalam pada itu, juruterbang pesawat Sukhoi, Mejar Khairul Ikhwan Yussof berkata, latihan itu menguji kemahiran anak kapal masing-masing untuk melepaskan peluru atau bom dari udara ke lapang sasar di atas permukaan bumi dan dari udara ke udara.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas