PUTRAJAYA – Lima maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 427.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan di Kuala Kubu Bharu, Selangor dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, pemandu kereta Perodua Myvi, Mohamad Rodzi Abdul Kadir, 52, serta empat penumpang kenderaan itu iaitu Jamilah Jalim @Jamil, 47; Bashirah Jalim @ Jamil, 49; Nur Intan Mohamad Rodzi, 18, dan Nur Shifa Abdul Rashid, 17, disahkan meninggal dunia di lokasi.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Azman Ab. Rahman berkata, kemalangan itu membabitkan kereta Perodua Myvi yang dinaiki kelima-lima mangsa dengan sebuah lori membawa muatan buah.
“Kemalangan berlaku apabila lori yang dipandu lelaki berusia 35 tahun dari Selama menuju ke Selayang dilanggar dari arah belakang oleh kereta Perodua Myvi di lorong kiri lebuh raya terbabit.
“Akibat pelanggaran itu, pemandu dan empat penumpang kereta Myvi terbabit maut di lokasi kejadian manakala pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azman berkata, semua mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

Ujar beliau, kemalangan itu menyebabkan lori terbabit rosak di bahagian belakang manakala kereta berkenaan rosak di bahagian hadapan.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – WILAYAHKU