Berita

Tapak Bazar Aidilfitri KL 2020 @ Jalan Raja dikurangkan

|
- Diterbit 19 Disember 2019 11:05 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menambah baik beberapa aspek dalam penganjuran Bazar Aidilfitri KL 2020 @ Jalan Raja termasuk mengurangkan tapak perniagaan.

Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Khairul Anuar Mohd. Juri berkata, bagi penganjuran kali ini, sebanyak 224 tapak ditawarkan kepada peniaga berbanding 343 tapak sebelumnya.

Jelas beliau, pengurangan itu bertujuan memberikan lebih keselesaan kepada peniaga dan pengunjung.

“Proses pengundian bazar pagi tadi melibatkan tawaran 224 petak daripada 1,349 permohonan. Persiapan juga boleh dilakukan dari sekarang iaitu empat bulan lebih awal supaya memudahkan peniaga.

“Saiz petak pula dinaikkan kepada 100 kaki persegi berbanding 64 kaki persegi sebelum ini selain dipasang pengadang ‘shell scheme’ di setiap gerai untuk lebih teratur selain mengawal ruang bagi mengelakkan penjaja meletakkan barang di luar petak yang disediakan.

“Konsep bazar masih mengekalkan berniaga di dalam khemah tertutup yang dilengkapi dengan penghawa dingin selain tempat niaga akan ditinggikan melalui pemasangan palet kayu sekali gus mengatasi masalah lopak air yang berlaku sebelum ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Pengundian Bazar Aidilfitri KL 2020@Jalan Raja di Stadium Titiwangsa hari ini.

ANTARA penjaja yang berjaya mendapat tapak pada cabutan undi tapak Bazar Aidilfitri KL 2020 @ Jalan Raja di Stadium Titiwangsa hari ini.

Mengulas lanjut, Khairul Anuar memberitahu, agihan petak dibahagikan kepada dua kategori iaitu 210 petak bagi pelbagai jenis barangan dan 14 petak merangkumi makanan kering.

“Kadar bayaran sewa yang dikenakan kepada penjaja adalah RM2, 638 termasuk RM1,000 sebagai cagaran,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas