Berita

Lima lelaki ditahan terlibat dalam pergaduhan hingga akibatkan kematian

lIMA lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan sehingga mengakibatkan kematian seorang lelaki di Taman Taragon Puteri Cheras, di sini semalam.
- Diterbit 3 Ogos 2021 9:02 AM MYT

POLIS menahan lima lelaki kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan sehingga mengakibatkan kematian seorang lelaki di Taman Taragon Puteri Cheras, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata kesemua lelaki itu ditahan dalam beberapa operasi di sekitar Cheras bermula malam tadi hingga pukul 3.30 pagi.

“Pada 6.45 petang semalam, polis menerima panggilan kecemasan melibatkan pergaduhan antara beberapa lelaki di Jalan Persiaran Puteri 1, Taman Taragon Puteri, Batu 9 Cheras.

“Sebaik saja anggota polis tiba di tempat kejadian, mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata berdasarkan kesan kecederaan, polis percaya suspek bersenjatakan pisau serta batu bata, dan motif kejadian disyaki akibat hutang.

Beliau berkata semua suspek berusia 39 hingga 48 tahun direman enam hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas