Berita

Lima keluarga sehelai sepinggang terima bantuan

KEADAAN salah sebuah rumah yang terbakar dalam kejadian di Taman Dato Senu pada 22 Julai lalu.
- Diterbit 12 Ogos 2023 3:00 AM MYT

YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) ­dengan kerjasama ­barisan kepimpinan bahagian Batu tampil menghulurkan sumbangan tunai (one-off) kepada lima buah ­keluarga yang terlibat dalam ­kebakaran di Taman Dato Senu, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pengurus Besar Jabatan Pembangunan dan Kesejahteraan Komuniti YWP, Zahrulail Abdul Rahman berkata sumbangan itu bagi meringankan beban yang ­ditanggung di samping membantu keluarga terlibat untuk ­menampung keperluan harian.

“Seperti mana yang ­diketahui, YWP sentiasa menyantuni warga kota yang terlibat dalam kejadian bencana seperti kebakaran, ­banjir, ribut dan sebagainya. Pada 22 Julai lalu, kita dimaklumkan telah berlakunya kebakaran sehingga menyebabkan harta benda musnah dan rumah tidak boleh didiami.

“Saya juga difahamkan ­rata-rata mangsa tinggal ­sementara di ­rumah saudara-mara ­berikutan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) masih ­menjalankan ­siasatan untuk ­mengetahui punca kebakaran.

“Justeru itu, YWP terpanggil untuk membantu di peringkat ­awal dan berharap agar sumbangan ini dapat meringankan beban yang ditanggung,” ujar beliau berharap mangsa terlibat akan turut ­dibantu pihak-pihak lain.

Terdahulu, kejadian kebakaran yang berlaku pada pukul 11 pagi itu menyebabkan beberapa bahagian di kediaman mangsa terbabit hangus dijilat api.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Bahagian Batu ­merangkap Setiausaha Sulit epada Ahli Parlimen Batu, Hafiz Solkapli ­berkata pihaknya akan terus ­membantu menghulurkan bantuan selanjutnya kepada mangsa-mangsa terlibat.

“Di peringkat ­parlimen, ­kita turut memberikan ­bantuan wang ­ringgit kepada setiap ­keluarga, walau bagaimanapun kami juga ­memanjangkan permohonan ­bantuan kepada pihak-pihak lain.

“Saya juga ingin ­mengucapkan terima kasih kepada YWP di atas jasa baik menghulurkan ­sumbangan lebih awal kepada kesemua ­keluarga yang terlibat,” kata beliau.

Terdahulu, Zahrulail selaku wakil YWP turun ­menghulurkan sumbangan kepada lima buah ­keluarga terlibat bersama Hafiz Solkapli dan Pengerusi MPP Sub Zon 2, Mejar Johari Baba.

Dalam perkembangan lain, YWP turut menghulurkan ­sumbangan bantuan tunai (one-off) kepada ­tiga keluarga yang turut terlibat ­dalam kebakaran di Jalan Raja Uda, Kampung Baru baru-baru ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas