Berita

KL Street Jam suntik semangat patriotisme warga Malaysia

PENGUNJUNG dari dalam dan luar negara membanjiri Dataran Merdeka sempena Program KL Street Jam: Ekspresi Muzik Kuala Lumpur pada 5 Ogos lalu.
- Diterbit 12 Ogos 2023 1:00 AM MYT

SEPANJANG bulan ­kemerdekaan 2023, pelbagai program dan ­aktiviti ­menarik giat dijalankan oleh semua pihak termasuk ­badan-badan korporat dan agensi kerajaan khusus untuk ­menyemarakkan bulan tersebut.

Tidak terkecuali, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut menganjurkan Program KL Street Jam: Ekspresi Muzik Kuala Lumpur pada malam Sabtu (5 Ogos) lalu bertempat di Jalan Raja, Dataran Merdeka.

Program anjuran Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL itu menyajikan hiburan secara santai dan percuma kepada warga kota termasuk ­pengunjung yang melawati lokasi ikonik tersebut.

Menurut DBKL, edisi ­kali ini mendapat kerjasama daripada Kumpulan Kombo Budaya dan Artis Budaya DBKL selain turut dijayakan dengan persembahan daripada ­beberapa artis terkemuka antaranya Syafiq Farhain, Umarul IKLIM, Alim KRIS, Datin Ramziela dan Shafie Rio.

“Program ini berlangsung meriah dengan kehadiran ramai ­pengunjung dari dalam dan luar negara yang ­bersama-sama mempamerkan ­semangat patriotik dan rasa cinta terhadap tanah air.

“Lebih meriah, para ­penonton yang hadir turut sama ­mengibarkan Jalur Gemilang tatkala ­lagu-lagu patriotik dinyanyikan oleh ­penyanyi-penyanyi jemputan.

“Terima kasih kepada para ­penonton yang hadir menyaksikan KL Street Jam dari awal konsert sehingga pukul 11 malam. Semoga mereka ­terhibur dengan ­persembahan yang disajikan pada malam tersebut,” jelas DBKL edisi kali ini dimeriahkan dengan Kempen Kibar Jalur Gemilang yang bermula sejak 31 Julai lalu.

Ujar DBKL, program itu turut ­dimeriahkan dengan jualan makanan dan minuman oleh 30 buah ­food truck yang disediakan.

Terdahulu, Program KL Street Jam merupakan program hiburan santai bersama artis-artis terkenal tanah air yang dipentaskan secara percuma kepada warga kota ­serta pelancong asing yang datang melawat Kuala Lumpur.

Ia bertujuan untuk ­mempromosi dan memperkenalkan lokasi ­ikonik negara iaitu Dataran Merdeka sebagai pusat apresiasi seni bagi ­aktiviti-aktiviti seni dan budaya di Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan lain, DBKL mengajak semua kanak-kanak ­warganegara Malaysia berusia enam hingga sembilan tahun ­untuk ­menyertai Pertandingan Pakaian Beragam Tekad Perpaduan sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.

DBKL berkata ­antara syarat-syaratnya, peserta perlu memuat naik video ­memperagakan pakaian beragam menggunakan akaun TikTok (akaun dipublickan) dan tag @dbkl.tt atau akaun Instagram (akaun dipublickan) dan tag @dewanbandarayakualalumpur.

Gunakan ­#dbkltekadperpaduan dalam setiap penyertaan dan 20 peserta terpilih akan menyertai pusingan akhir pada awal September serta berpeluang memenangi RM1,000. Untuk maklumat lanjut boleh layari laman Facebook DBKL. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas