Berita

Lif Flat Sri Sabah bakal diganti

- Diterbit 19 September 2020 11:33 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memperuntukkan sejumlah wang bagi menggantikan 18 unit lif yang baharu di kawasan Perumahan Awam Sri Sabah.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara berkata, sebahagian lif di kawasan itu sudah berusia lebih 15 tahun dan ia perlu digantikan bagi mengelakkan kemalangan.

“Ketika ini, semua lif masih berfungsi di dalam keadaan baik dan ada beberapa unit yang dalam proses penyelenggaraan.

“Statusnya kini berada diperingkat akhir sebelum tender diiklankan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang pertengahan tahun 2021,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program We Care, We Serve, We Hope di Pusat Komuniti Gombak di sini hari ini.

Hadir sama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Noor Hisham Ahmad Dahlan; Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Komisioner Polis Datuk Seri Zulkifli Abdullah; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, CP Datuk Razaruddin Hussain @ Abdul Rasid dan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Deputi Komisioner Polis (DCP) Datuk Yong Lei Choo.

Santhara memberitahu, sehari sebelum kejadian yang mengorbankan seorang lelaki pada 2 September lalu, beliau telah melawat kawasan berkenaan dan bertemu dengan pihak JMB di sana.

“Syarikat penyelenggaraan turut hadir dan menunjukkan data-data yang berkaitan dengan masalah lif di kawasan itu.

“Beberapa aduan turut diberikan dan kita telah menyemak bahawa lif-lif dikawasan itu rosak dalam beberapa jam dan kemudian diperbaiki,” katanya.

Dalam pada itu, Nor Hisham menjelaskan bahawa Rumah Flat Batu Permai dekat Jinjang adalah milik swasta dan bukan dibawah tanggungjawab pihak DBKL.

“Ia bukan dibawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan mereka mempunyai Perbadanan Pengurusan Bersama (JMB) untuk menguruskan apa jua masalah berkaitan dengan perumahan itu.

“Berkaitan dengan insiden lif terhempas semalam, pihak polis telah menjalankan siasatan dan agensi yang berkaitan turut akan menjalankan pemeriksaan bagi mencari punca berkenaan,” katanya.

Terdahulu, seorang lelaki dan dua kanak-kanak cedera selepas lif di Blok 28, Rumah Pangsa Taman Batu Permai, Jinjang di sini yang dinaiki mereka terhempas dipercayai mengalami kerosakan semalam.

Kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan sejurus selepas berjaya diselamatkan penduduk di kawasan tersebut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas