Berita

219 ditangkap kesalahan dadah sepanjang tahun ini

- Diterbit 19 September 2020 9:40 AM MYT

SERAMAI 219 orang telah ditangkap berkaitan dengan penyalahgunaan dadah sepanjang Januari sehingga September tahun ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu, Komisioner Polis (CP) Datuk Saiful Azly Kamarudin berkata, jumlah tangkapan itu meningkat dengan mendadak berbanding tahun 2019 kerana pihaknya menjalankan operasi bersepadu membanteras penyalahgunaan dadah untuk sepanjang tempoh sembilan bulan ini.

“Sepanjang tahun 2019 yang lalu, seramai 82 orang telah ditangkap mengikut pelbagai seksyen termasuk seksyen 39, seksyen 12, seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya.

“Kebanyakan yang ditangkap termasuklah pengedar dan penagih dan berumur lingkungan 40 tahun dan kebawah.

Beliau berkata kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Program We Love, We Serve, We Hope anjuran bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Santhara melancarkan program tersebut di Pusat Komuniti Gombak hari ini.

Program tersebut merupakan inisiatif bersepadu bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah, substan dan pelencongan sosial secara kolaboratif yang membabitkan tiga kawasan iaitu, PPR Gombak Setia, PPR Kampung Baru Ayer Panas dan PPR Sungai Bonus.

Jelas Saiful Azly, tiga PPR ini mempunyai 20, 416 penduduk dan 995 orang atau 4.87 peratus didapati terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

“Melalui tangkapan dan risikan di kawasan tersebut, tiga jenis dadah yang diambil adalah membabitkan heroin, syabu dan ganja.

“Bekalannya memang kita tahu untuk golongan yang berpendapatan rendah sahaja yang consume (ambil) dadah jenis ini.

“Jadi dengan kerjasama pihak Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Jabatan Narkotik Bukit Aman, kami telah menggerakkan operasi-operasi yang lebih agresif dan efektif sehingga menyebabkan tangkapan yang direkodkan meningkat dengan mendadak,” katanya.

Dalam pada itu, Santhara menzahirkan rasa sedih kerana jumlah kes penyalahgunaan dadah meningkat sehingga 60 hingga 70 peratus dan membabitkan kalangan belia terutama di Kuala Lumpur.

“Kita seharusnya memantau dan mesti memastikan cara-cara yang berkesan untuk mengurangkan kes berkaitan dadah di Kuala Lumpur khususnya di kawasan PPR dan belia senang untuk terlibat dengan gejala ini.

“Oleh yang demikian, kerajaan giat untuk menjalankan program-program bagi memastikan belia terlibat dan program yang kita mulakan pada hari ini dan ia tidak berhenti di sini.

Kita akan bekerjasama dengan pihak DBKL dan AADK dan juga IPK bukan sahaja untuk menjalankan pemantauan tetapi turut mengambil tindakan-tindakan dari segi penguatkuasaan serta tindakan dari sudut kesejahteraan bandar bagi mengelakkan pelencongan sosial kita dengan kerjasama agensi di bawah KWP dan DBKL,” katanya.

Hadir sama, Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Komisioner Polis, Datuk Seri Zulkifli Abdullah; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, CP Datuk Razaruddin Hussain @ Abdul Rasid dan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Deputi Komisioner Polis (DCP) Datuk Yong Lei Choo. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas