Berita

Banjir KL: Antara alam dan manusia

BANJIR kilat menjejaskan beberapa kawasan tumpuan di Kuala Lumpur baru-baru ini. BANJIR kilat menjejaskan beberapa kawasan tumpuan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
- Diterbit 19 September 2020 1:00 PM MYT

BANJIR kilat adalah sesuatu yang sangat lumrah di Kuala Lumpur ini. Berpuluh tahun kita telah mendengar cerita serupa dan hampir pasti akan terus mendengar kisah ini.

Minggu lalu berlaku lagi dalam keadaan yang dianggap antara terburuk dalam rekod.

Sebahagiannya kerana kerana takdirnya di situ, sebahagian lagi kerana kealpaan dan kegagalan manusia menguruskan alam.

Nama Kuala Lumpur sendiri memberi maksud tempat pertemuan sungaisungai yang berlumpur.

Bandaraya yang berkeluasan sekitar 243.65 km persegi dengan ketinggian purata 21.95 m (72 kaki) bersempadanan dengan Banjaran Titiwangsa di Timur dan beberapa bukit di sekelilingnya.

Dengan kedudukan seperti ini, Kuala Lumpur menjadi tempat pertemuan sungaisungai dari kawasan tinggi ini, terutamanya dua sungai terbesar – Sungai Klang dan Sungai Gombak dan puluhan sungai kecil lain. Semuanya menuju ke bandaraya ini sebelum mengakhiri perjalanan ke Selat Melaka.

Tanpa disedari Kuala Lumpur bukan sahaja menjadi tempat tumpuan pelbagai lapisan manusia Banjir KL: Antara alam dan manusia dari seluruh ceruk rantau negara, tetapi juga tempat pertemuan air dan lumpur.

Segala curahan air dan lumpur dari tanah tinggi akan menuju ke Kuala Lumpur.

Justeru dari segi geografi atau takdir alam, sukar untuk Kuala Lumpur menolak kehadiran banjir terutamanya banjir kilat yang berlaku apabila taburan hujan melampaui kemampuan sistem saliran.

Akibat manusia Selain faktor alam, tangan-tangan manusia juga memainkan peranan menambah beban pengurusan banjir di Kuala Lumpur.

Pembangunan pesat telah mengurangkan kawasan tadahan air semula jadi di kawasan-kawasan tanah tinggi sekeliling bandaraya.

Ini menyebabkan aliran air telah menjadi lebih pantas sampai di Kuala Lumpur dan sungai-sungai yang menyediakan laluan ke laut gagal menampung kehadiran besar air dan lumpur dari tanah tinggi.

Di dalam Kuala Lumpur sendiri ada kekangan menyelenggara semua saliran, parit dan sungai yang kecil-kecil akibat projek pembangunan yang dilaksanakan.

Namun sesuatu yang kita perlu akui bahawa sejak berdekad lalu kerajaan telah melaksanakan pelbagai pembaharuan, kerja-kerja meluaskan dan mendalamkan sungai dan saliran sentiasa dilakukan bagi meminimakan kejadian banjir.

Ini termasuklah memperuntukan berbilion ringgit membina Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (Stormwater Management and Road Tunnel – Smart) dan juga kerja-kerja menaik taraf Sungai Klang dan Sungai Gombak.

Selain itu, terdapat enam kawasan tadahan air (retention pond) sekitar Kuala Lumpur yang disediakan oleh kerajaan bagi meminimakan keadaan banjir di Kuala Lumpur.

“Pembangunan pesat telah mengurangkan kawasan tadahan air semula jadi di kawasankawasan tanah tinggi sekeliling bandaraya.

Tanpa semua usaha ini Kuala Lumpur mungkin telah tenggelam pada Khamis lalu. Beberapa sungai sekitar Kuala Lumpur mencatatkan jumlah peningkatan air melepasi paras bahaya.

Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) semua enam kolam takungan air sekitar Sungai Klang dan Gombak beroperasi pada tahap maksima menyimpan air sebanyak 12.2 juta meter padu pada Khamis lalu.

Terowong Smart juga ditutup sepenuhnya bagi membolehkan pengaliran air berlaku dengan cepat dan pantas.

Sistem Amaran Awal Banjir Dalam keadaan kerajaan akan terus memperbaiki sistem perparitan dan pengurusan limpahan air di Kuala Lumpur, kita tidak boleh menolak hakikat takdir juga memainkan peranan dalam menjadikan banjir kilat akan terus hadir di Kuala Lumpur apabila berlaku fenomena hujan melebihi kemampuan kita menampung laluan air ke laut.

Justeru hasrat Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa untuk memperkenalkan sistem amaran awal banjir melalui aplikasi telefon pintar kepada penduduk dan pekerja di Kuala Lumpur adalah sangat baik dan perlu dilaksanakan segera.

Sistem amaran awal banjir tidak akan menghilangkan isu banjir kilat di Kuala Lumpur, namun ia boleh mengurangkan kerugian kepada warga Kuala Lumpur sama ada dari segi mengelak laluan banjir atau menyelamatkan kenderaan dari menjadi mangsa banjir kilat.

Namun apa sahaja sistem mesra rakyat yang diperkenalkan harus diteliti dan dikaji secara mendalam agar tidak sekadar gah semasa pelancaran tetapi berakhir sebagai indah khabar dari rupa.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas