Berita

Lepasi saringan masih boleh terdedah jangkitan

PEKERJA binaan menanti dengan sabar proses saringan yang dijalankan.
- Diterbit 15 Mei 2020 1:44 PM MYT

PUTRAJAYA -Warga asing yang sudah menjalani ujian saringan Covid-19 tidak akan diberi lencana bagi mengelakkan persepsi mereka sudah bebas virus berkenaan.

Sebaliknya Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, warga asing itu akan dibekalkan dengan surat membuktikan mereka sudah jalani saringan.

“Keputusan ujian yang dijalankan adalah untuk waktu itu saja dan golongan itu masih terdedah dijangkiti virus berkenaan.

“Ini disebabkan ujian itu adalah untuk masa itu saja. Selepas satu atau dua minggu, mereka masih terdedah wabak berkenaan dalam masyarakat,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham terus mengingatkan orang ramai kekal berada di rumah sendiri ketika sambutan Aidilfitri nanti.

Katanya, langkah berkenaan dapat melindungi ahli keluarga dan masyarakat daripada jangkitan Covid-19.

“Kita boleh melaksanakan ‘perintah berkurung’ di rumah sendiri, contohnya bagi memastikan tiada orang luar datang ke rumah.

“Ia adalah inisiatif yang baik jika anda boleh melakukannya. Walaupun ada ahli keluarga yang datang dari zon merah, anda perlu berhati-hati dan melindungi warga emas serta orang kurang upaya (OKU),” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas