Berita

Covid-19: 28 daripada 36 kes baharu babit warga asing

- Diterbit 15 Mei 2020 1:06 PM MYT

PUTRAJAYA – Hampir kesemua kes baharu positif Covid-19 yang dilaporkan hari ini membabitkan warga asing.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sejumlah 28 daripada 36 kes yang dilaporkan adalah warga asing manakala lapan lagi warga tempatan.

Susulan pertambahan itu, jumlah keseluruhan wabak terbabit mencecah 6,855 dengan 1,304 darinya adalah kes aktif.

“Setakat pukul 12 tengah hari tadi, 88 kes disahkan pulih dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah keseluruhan 5,439 kes iaitu 79.3 peratus.

“14 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan lima memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dr Noor Hisham memaklumkan, kes kematian kekal 112 kes susulan tiada kematian baharu dilaporkan.

Sementara itu, mengulas kematian kes-110, Dr Noor Hisham berkata, siasatan masih dijalankan dan pihaknya masih mengesan kontak rapat mangsa terbabit bagi menjalani saringan.

“Kita masih jalankan siasatan dan sekiranya laporan penuh diperoleh, kita akan maklumkan,” katanya.

Rabu lalu, Dr Noor Hisham memaklumkan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang ditemui mati di Rompin, Pahang didapati positif Covid-19 hasil bedah siasat ke atas mangsa. Lelaki terbabit ditemui meninggal dunia di tepi jalan di Muadzam Shah, dipercayai berjalan kaki dari Segamat, Johor menuju ke kampung halamannya di Kuala Terengganu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas