Anak Tuan Guru Haji Lah Lubok Tapah disebut-sebut dilantik Mufti Wilayah Persekutuan

Anak Tuan Guru Haji Lah Lubok Tapah disebut-sebut dilantik Mufti Wilayah Persekutuan

PUTRAJAYA – Sejak sejam yang lalu, Pengerusi Pusat Pembangunan Pondok Kelantan, Dr. Luqman Abdullah disebut-sebut sebagai Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu.

Bagaimanapun, setakat ini tiada pengumuman rasmi dibuat mengenai perkara tersebut.

Berita berkenaan pelantikan beliau mula dimuat naik di Page Facebook PAS Kelantan yang mengucapkan tahniah kepada Luqman.

“Alhamdulillah, Dr. Luqman Abdullah (Anakanda Almarhum Tuan Guru Hj Lah Lubok Tapah yang juga merupakan Pengerusi Pusat Pembangunan Pondok Kelantan) secara rasminya dilantik Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu.

“Syabas dan tahniah anak Kelantan,” kata ciapan Facebook itu.

Luqman akan menggantikan Datuk Dr. Zulkifli Mohammad Al-Bakri yang kini dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada Mac lalu.

Terdahulu, beliau yang dilahirkan 12 September 1969 di Kampung Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas, Kelantan merupakan mahasiswa Sarjana Muda Universiti Malaya (UM) di Fakulti Syariah, Akademi Islam pada tahun 1989 hingga 1993 dan pernah mengikuti pengajian undang-undang perbandingan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) (1994-1995).

Beliau juga pernah melanjutkan pelajaran di United Kingdom selama empat tahun untuk pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) dan telah memperoleh Ijazah PhD dari Universiti Edinburgh, Scotland pada tahun 2005 dalam bidang Undang-undang Harta Islam.

Difahamkan, beliau merupakan salah seorang panel utama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dari 2013 hingga 2016. WILAYAHKU

LUQMAN (kanan).

CATEGORIES
TAGS