Selera

Lepak, santai sambil makan di Ceruk, KL

MEDAN selera berkonsep moden di ibu kota.
- Diterbit 5 September 2020 6:00 AM MYT

HAMPIR tiga minggu Beroperasi, medan selera moden berkonsep hipster, Ceruk, KL yang terletak di Jalan Ampang, Kuala Lumpur tidak menang tangan menerima kunjungan pelanggan saban hari.

Lokasinya yang strategik dan mudah diakses juga menjadi salah satu daya tarikan kepada pengunjung. Memuatkan 12 pengusaha makanan dan dua peruncit yang bernaung di bawahnya, ia diibaratkan syurga makanan bagi warga Kuala Lumpur.

Bagi anda yang menetap di bandaraya Kuala Lumpur, tidak perlu pergi jauh untuk mencari makanan kegemaran, sebut sahaja jenis makanan yang anda inginkan, dari selera tempatan, barat, mahupun Cina semuanya boleh didapati di Ceruk, KL.

MUZDALIFAH

Menurut Pengurusnya, Muzdalifah Mustapha, 36, kepelbagaian makanan yang diketengahkan menarik perhatian pelanggan segenap lapisan masyarakat tidak kira tua mahupun muda.

“Biarpun baru beroperasi, kami mendapat sambutan yang menggalakkan dan Alhamdulillah sasaran pelanggan iaitu dari golongan keluarga dan anak muda sudah pun tercapai. Ia satu perkembangan yang begitu positif.

“Kepuasan pelanggan adalah perkara yang paling utama bagi Ceruk supaya mereka ini akan datang lagi dan seterusnya memberi maklum balas positif terhadap kami. Disebabkan itu, saya amat menitikberatkan perihal menu di sini,” ujarnya kepada Wilayahku.

Tambah Muzdalifah, setiap menu yang terdapat di medan selera hipster tersebut mempunyai kehebatannya yang tersendiri lebih-lebih lagi kebanyakan pengusaha yang ada merupakan mereka yang berpengalaman dalam perniagaan makanan.

“Sebagai contoh, antara tarikan menu wajib dicuba yang terdapat di Ceruk adalah burger buatan sendiri yang mana dagingnya begitu lembut dan tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan jenama burger antarabangsa.

“Selain itu, pelanggan juga boleh merasai keenakan yong tau fu, nasi lemak, dim sum dan pelbagai lagi tarikan makanan yang disediakan oleh tukang masak mahir,” ujarnya.

Serendah RM4 bagi sepinggan nasi lemak yang enak, harga makanan yang ditawarkan amat berpatutan dan tidak membebankan pengunjung di ibu kota terutamanya para pelajar.

Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Ceruk mempunyai dua sesi waktu operasi iaitu dari pukul 11.30 pagi hingga 3.30 petang manakala sesi malamnya pula bermula 3.30 petang hingga 11.30 malam.

“Pada sebelah siang hanya dua buah kedai sahaja dibuka iaitu Pegaga dan Java sementara yang lain pula dibuka serentak pada sebelah petang. Insya-Allah akan datang kami akan memperbanyakkan bilangan kedai pada waktu makan tengah hari,” ujarnya.

Tidak ketinggalan, Ceruk juga menawarkan lokasi untuk pihak yang berminat menganjurkan acara koporat mahupun keraian seperti sambutan hari lahir dan sebagainya.

“Sejak beroperasi beberapa minggu yang lalu, kami telah pun menjalankan tiga acara korporat di ruang tertutup di Ceruk, KL,” katanya.

BANTU USAHAWAN IKS

Bercerita lanjut tentang idea membuka medan selera ini, menurut wanita yang berasal dari Kuala Lumpur ini, ia tercetus melalui rakan kongsinya iaitu Marina Ramli yang sudah lama bercita-citamembuka perniagaan dengan konsep tersebut.

“Ceruk mempunyai empat orang rakan kongsi dan kami mula merancang untuk membina Ceruk pada tahun 2019 dan Alhamdulillah impian tersebut tercapai dan perjalanannya lancar,” ujarnya.

Ujar Muzdalifah, setakat ini kedai yang bernaung di bawah Ceruk telah pun penuh yang mana setiap pengusaha dikenakan bayaran sewa sebanyak RM1,800 sebulan.

GERAI di Ceruk, KL mengetengahkan tukang masak berpengalaman.

“Saya bersyukur kerana pengusaha memberi komitmen yang tinggi dan tidak berbelah bahagi,” ujarnya yang mengakui mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ceritanya lagi, Ceruk juga bekerjasama dengan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) yang mana mereka digalakkan meletakkan barang jualan di Ceruk untuk membantu menjana pendapatan golongan ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas