Fokus

Konvoi Kemerdekaan bantu warga kota hayati makna merdeka

MOHD Sukari mengedarkan Jalur Gemilang dan pelitup muka kepada
- Diterbit 5 September 2020 4:58 AM MYT

PROGRAM konvoi jelajah kemerdekaan yang menjadi tradisi Jabatan Penerangan Malaysia dilaksanakan untuk memberikan penerangan dan informasi kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira lokasi serta kedudukan geografi sesuatu kawasan.

Pada mereka, seruan dan pengertian kemerdekaan kepada seluruh anak watan harus dilaksanakan walau apa jua keadaan kerana ia satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan misi mengekalkan keamanan dan menghargai kemerdekaan.

Pengarah Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JaPen), Erwin Khairul Ahmad berkata, program sambutan kemerdekaan negara pada tahun ini sama seperti tahun-tahun terdahulu namun sambutan tahun ini nyata ada perbezaan.

“Program jelajah ini sudah sinonim dengan JaPen dan di Kuala Lumpur ini tidak terkecuali walaupun warga kota terdedah dengan maklumat terkini dan masih lagi berada di dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Walaupun begitu, pihak kami terus komited menjalankan program-program jelajah kemerdekaan bagi menyampaikan mesej kepada warga kota mengenai kemerdekaan,” katanya ketika ditemui Wilayahku baru-baru ini.

Kata Erwin, buat julung kalinya, pihak JaPen menggunakan perkhidmatan bas pelancongan, KL HopOn Hop-Off dalam program konvoi berkenaan.

“Selepas pandemik, pelancongan dalam Malaysia terjejas teruk apabila pelancong luar tidak datang ke Malaysia dan bas ini juga kurang digunakan.

“Di samping untuk dilaksanakan kempen kibar jalur gemilang dan meningkatkan semangat kemerdekaan, perkhidmatan bas KL Hop-On Hop-Off ini digunakan sekaligus dapat meningkatkan pelancongan dalam Kuala Lumpur,” katanya sambil menambah promosi pelancongan dalam negara banyak tertumpu di luar Kuala Lumpur berbanding ibu kota itu sendiri.

Kata Erwin, dalam setiap lokasi yang ditetapkan, pihaknya akan  mengedarkan Jalur Gemilang kepada orang ramai bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan.

“Ia dilakukan dengan tekad agar orang ramai dapat menghayati semangat kemerdekaan selain mempunyai perasaan cintakan tanah air.

“Program ini juga dilaksanakan setiap tahun agar orang ramai sentiasa peka terhadap hari kebesaran negara yang menjadi pelengkap kepada jati diri warga negara yang telah bebas daripada penjajah,” katanya.

Erwin memberitahu, program penghayatan kemerdekaan ini telah bermula sejak 16 Julai yang lalu.

“Program itu dinamakan Info On Wheels (IOW) Merdeka yang telah dilepaskan oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Santhara di Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

“Semua van-van penerangan yang terlibat akan beroperasi setiap hari ke kawasan-kawasan komuniti dan memutarkan lagu-lagu patriotik serta menyampaikan mesej kepada orang ramai bagi menggalakkan mereka mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic), Rudy Irwan Shukaime berkata, pihaknya turut merasakan tanggungjawab bagi menyokong program-program berbentuk agenda nasional bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan ke 63 pada tahun ini.

“Bagi program konvoi ini, kami membawakan perkhidmatan Bas KL Hop-On Hop-Off yang juga salah satu produk pelancongan di Kuala Lumpur.

“Melalui kolaborasi ini, ia dapat membangkitkan semangat kemerdekaan dan mengibarkan Jalur Gemilang dalam kalangan warga tempatan,” katanya.

Menurut Rudy Irwan, sambutan pada tahun ini masih di tahap yang membanggakan meskipun negara masih terjejas teruk dengan pandemik COVID-19.

“Saya lihat ada inisiatif daripada pemilik bangunan dan premis sama ada pihak kerajaan mahupun swasta untuk turut sama mengibarkan Jalur Gemilang.

“Bagi program ini, setiap pemilik bangunan dan premis ini perlu mengambil inisiatif sendiri supaya semangat patriotisme dan cintakan negara dapat dihayati lebihlebih lagi dalam keadaan yang kita sama-sama perlu tempuhi,” katanya.

Ujarnya lagi, dengan mengibarkan Jalur Gemilang serta menyanyikan lagu-lagu patriotik, ia dapat menyuntik semangat dan motivasi untuk membantu membina negara bangkit daripada pandemik ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas