Berita

Lebih sedekad dalam sukan menembak

EDDY Chew, sewaktu beraksi mewakili Malaysia pada sukan Sea lalu.
- Diterbit 14 Jun 2019 6:35 AM MYT

Lebih sedekad dalam sukan menembak
Eddy Chew undur diri

Oleh: AINI MAWAWI
[email protected]

Selama 14 tahun berkecimpung dalam sukan menembak, akhirnya penembak muda negara, Eddy Chew, 24, memutuskan untuk mengundur diri daripada lapangan sukan tersebut tahun lalu. Sungguhpun namanya sedang meningkat naik, namun baginya itu merupakan pilihan muktamad.

Enggan memikirkan pandangan segelintir masyarakat, Eddy mengakui keputusan itu dibuat setelah dia berjaya mencapai matlamat yang diingini dalam gelanggang sukan yang amat dicintainya itu.

Mencatat skor tertinggi untuk acara 10 meter Air Pistol 583 dan 50 meter Free Pistol 554, bekas atlet yang berasal dari Johor Bahru ini pernah menyertai Kejohanan Menembak Universiti Dunia (WUSC) di Kuala Lumpur tahun lalu.

“Itu merupakan kenangan manis yang amat berharga di mana saya dan tim merupakan kumpulan pertama dalam sejarah yang berjaya membawa balik pingat gangsa. Sebelum itu, banyak kali sudah mencuba namun tahun lalu baru berhasil.

“Apabila menggengam pingat tersebut, saya rasa ia sangat berbaloi untuk bersara. Lagipula sudah tiba masanya untuk meneroka bidang lain pula setelah menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Sains Sukan, Universiti Malaya,” ujarnya.

Pun begitu, dia berharap penghijrahannya ini akan memberi ruang buatnya untuk memperolehi pekerjaan yang bersesuaian di luar sana.

“Saya sedang berusaha untuk menempatkan diri dalam bidang pekerjaan dan dalam masa terdekat tidak terfikir untuk kembali aktif semula. Namun saya tidak menolak andai suatu hari nanti akan menyumbang jasa lagi terhadap sukan menembak,” ujarnya.

Menyingkap penglibatannya dalam acara 10 meter Air Pistol dan 50 meter Free Pistol, anak bongsu daripada empat orang adik-beradik ini mengakui bapanya merupakan individu yang bertanggungjawab membawanya ke dalam sukan ini.

“Ayah suka memburu dan sering mengajak saya ikut serta. Dia adalah pendorong utama dalam sukan menembak. Bermula dari situlah, tidak semena-mena saya mula jatuh cinta dengan aktiviti ini.

“Setiap kejayaan yang berjaya saya rangkul juga adalah restu dan doa yang tidak putus-putus daripada keluarga. Walau apapun keadaan ketika itu, saya bersyukur kerana mereka tidak jemu dan sentiasa berada di sisi,” ujar atlet yang menyinar pada Sukan SEA 2013 di Myanmar.

Penembak muda perlu fokus

Tidak lokek berkongsi pengalaman bersama penembak muda lain, baginya setiap atlet yang berada dalam sukan menembak perlu sentiasa fokus dengan sasaran dan jangan sesekali putus asa.

“Bukan sahaja sukan menembak bahkan setiap sukan mempunyai cabaran tersendiri. Bezanya kita perlu tahu apa matlamat yang diinginkan. Tekanan itu kita yang rasa dan sebagai atlet perlu bijak untuk mengemudinya.

“Cakap-cakap orang adalah senjata yang paling bahaya jika kita terlalu mengambil tahu tentangnya. Usah terlalu memikirkannya kerana kita sendiri lebih arif tentang kemampuan diri sendiri berbanding orang lain,” ujar bekas atlet penembak elit negara ini.

Ceritanya lagi, latihan secara konsisten yang pernah dilaluisatu ketika dahulu melatih dirinya menjadi seorang yang berdisiplin dan menepati masa.

“Dulu latihan dua kali sehari selama lima jam. Seawal pagi saya sudah bangun dan sibuk dengan aktiviti sukan dan pembelajaran. Dek kerana itu, saya berubah menjadi seorang yang sangat menepati masa.

“Bertahun-tahun dilatih begitu membuatkannya saya lebih menghargai waktu yang ada sekarang. Dulu banyak masa dengan keluarga yang perlu dikorbankan. Kini saya cuba untuk tebus kembali selagi termampu,” ujarnya yang turut bangga kerana pernah mengharumkan nama negara.

Pencapaian Eddy Chew

Kejohanan Menembak Universiti Dunia (WUSC) 2018 – 1 Gangsa
Piala Dunia New Delhi 2017 – Tangga Kesembilan belas
Sukan Komanwel 2014 – Tangga Keempat
Piala Dunia Beijing 2014 – Tangga Kesebelas
Sukan SEA Myanmar 2013 – Satu Emas, Satu Perak dan Satu Gangsa

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas