Berita

Kelayakan Pusingan 2: Cabaran besar menanti Harimau Malaya

PASUKAN Malaysia ketika bertemu Timur Leste.
- Diterbit 14 Jun 2019 6:36 AM MYT

KEMARAAN Harimau Malaya ke pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 selepas berjaya menewaskan Timor-Leste secara agregat 12-2, menyaksikan Malaysia menyertai senarai 40 pasukan terbaik Asia.

Malah, kemenangan dalam perlawanan kelayakan itu juga membolehkan mata FIFA Ranking Malaysia bertambah sebanyak 20.289 mata kepada 1009.044 mata sekali gus memintas Singapura dan Indonesia yang tewas kepada lawan masing-masing dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung pada hari yang sama.

Sungguhpun melangkah bergaya pada aksi pertama Pusingan 1 itu, skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe tidak seharusnya menarik nafas lega berikutan cabaran yang lebih besar menanti di Pusingan 2 yang dijangka akan berlangsung September ini, selepas proses undian dilakukan pada 17 Julai di Qatar.

Kehadiran skuad Jepun, Korea dan Australia pastinya memberi saingan lebih sengit kepada pasukan negara, justeru kelemahan-kelemahan kecil yang ada perlu diperbaiki segera bagi memastikan Harimau Malaya tidak sekadar melengkapkan aksi di Pusingan 2 seperti tahun sebelumnya.

Sasaran ke Piala Dunia mungkin terlalu tinggi dan agak sukar dicapai, oleh itu, Cheng Ho perlu lebih realistik dan fokus pada kelayakan ke Piala Asia berikutan kejohanan dunia itu menyaksikan hanya empat slot disediakan kepada negara Asia.

Berdasarkan aksi timbal balik yang berakhir Selasa lalu, barisan serangan mempamerkan aksi cemerlang apabila meledakkan 12 gol namun masih terdapat beberapa kelemahan terutama pemain-pemain negara sering melakukan kesilapan dari segi hantaran biarpun menguasai perlawanan.

Bagaimanapun, secara keseluruhan pasukan negara mempamerkan aksi positif terutama dari segi serangan tetapi barisan serangan yang dibolosi dua gol tidak boleh mendabik dada dan kelihatan sedikit goyah walaupun kurang diuji oleh pasukan serangan Timor Leste.

Perkara itu harus diberi keutamaan oleh Cheng Ho kerana bakal berdepan barisan serangan lebih baik apabila berhadapan dengan pasukan yang lebih kuat dalam aksi pusingan kedua nanti.

Kehadiran Shahrel Fikri Md. Fauzi yang kini diangkat sebagai wira Harimau Malaya kerana berjaya meledak hatrik ketika bergandingan bersama Mohamadou Sumareh dan Akhyar Rashid di jentera serangan pada Pusingan 1, dilihat memberi satu perkara impak positif kepada barisan serangan negara.

Selain itu, aksi cemerlang penjaga gol negara, Ifwat Akmal Chek Kassim biarpun buat kali pertama diturunkan dalam skuad senior memberikan bekas jurulatih Kedah itu lebih banyak pilihan di posisi penjaga gol.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas