Berita

Lebih RM2.5 juta kerugian akibat topeng mulut, hidung

TOPENG mulut dan hidung kini menjadi barang keperluan harian masyarakat dunia. - Gambar hiasan
- Diterbit 3 Jun 2020 8:26 AM MYT

KUALA LUMPUR – Sejak wabak Covid-19 melanda dunia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Kuala Lumpur merekodkan lebih RM2.5 juta kerugian akibat penipuan penjualan topeng mulut dan hidung dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Malah, sehingga 1 Jun lalu, sebanyak 41 tangkapan dilakukan dengan 24 daripada 87 kes telah dituduh di mahkamah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, peningkatan jumlah kes tersebut amat membimbangkan kerana permintaan yang tinggi mendorong pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya mengelakkan diri daripada menjadi mangsa kes penipuan jual beli topeng mulut dan hidung secara atas talian.

“Antara langkah-langkah yang perlu diambil adalah membeli barang daripada penjual yang disahkan dengan membuat semakan nombor akaun di laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau http://biztrust.ssm.com.my,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, menurut Mazlan, orang ramai juga perlu mengelakkan diri daripada berurusan di laman web yang mencurigakan di samping sentiasa menyemak komen pembeli lain dan tidak mudah percaya tawaran murah.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berdekatan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas