Berita baik, bayar bil elektrik secara ansuran

Berita baik, bayar bil elektrik secara ansuran

PENGGUNA elektrik domestik diberi kemudahan untuk membayar bil bagi kegunaan elektrik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara ansuran.

Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bayaran ansuran itu boleh dibuat sehingga Disember 2020.

Beliau turut menjelaskan kaedah prorata yang digunakan TNB adalah bagi memastikan pengguna tidak akan terlebih caj malah semakan turut dilakukan Suruhanjaya Tenaga (ST) terhadap perkiraan TNB menggunakan kaedah prorata.

“Prorata memastikan pengguna tidak terlebih cas, ini satu kaeadah yang mana untuk pastikan kiraan tepat bagi Mac, April dan Mei.

“Kemudian kalau nak dikira lagi, pelanggan untuk Mac dan April, total dua bulan penggunaan itu diberi pula kelonggaran untuk proses bayaran iaitu sehingga Disember,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah menegaskan bahawa TNB tidak mengenakan caj berlebihan kepada pengguna bagi pengiraan bil anggaran semasa tempoh PKP berikutan pemberhentian semua aktiviti bacaan meter mulai 20 Mac hingga 14 Mei.

Jelas beliau, mekanisme pengebilan itu juga telah disemak dan dipersetujui ST yang turut hadir dalam pertemuan tersebut.

“TNB memaklumkan sekiranya terdapat lebihan bayaran, ia akan dikredit atau dipulangkan kepada pengguna,” katanya.

Bagi meringankan beban kewangan pelanggan yang terkesan berikutan penularan wabak COVID-19, Shamsul Anuar berkata pihak TNB telah bersetuju untuk Perkenalkan Pelan Bayaran Mudah Bil Elektrik dari tarikh penerimaan bil sebenar sehingga Disember 2020.

Tambah beliau, tiada sebarang aktiviti pemotongan bekalan elektrik akan dilakukan sehingga 31 Julai 2020 sekiranya pengguna lewat membayar bil elektrik.

Shamsul Anuar dalam pada itu berkata sehingga 28 Mei, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM200 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) untuk memberi diskaun kepada pengguna elektrik di Semenanjung.

“Daripada jumlah tersebut, RM149 juta telah dibelanjakan bagi pemberian diskaun kepada 7.6 juta pengguna rumah kediaman manakala bakinya kepada pengguna-pengguna komersial dan industri,” katanya.

Beliau berkata pengguna boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai mekanisme pengebilan sepanjang tempoh PKP di Kedai Tenaga di seluruh negara atau menghubungi talian TNB Careline 1-300-88-5454 yang beroperasi setiap hari (8 pagi hingga 5 petang) dan saluran digital Facebook TNB Careline.

“Bagi pengguna masih tidak berpuas hati, mereka boleh membuat aduan secara terus kepada Suruhanjaya Tenaga melalui Sistem eAduan (https://bit.ly/eaduanST), talian telefon 03-8870 8800 atau e-mel eaduan@st.gov.my,” katanya. – WILAYAHKU

CATEGORIES