Berita

Berita orang ramai beratur seawal 4 pagi di PPTG WPKL palsu

URUSAN di kaunter PPTG WPKL tidak lewat seperti yang dilaporkan sebuah portal berita sebelum ini.
- Diterbit 3 Jun 2020 9:33 AM MYT

KUALA LUMPUR – Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPTG WPKL) menafikan bahawa mereka berhadapan situasi pelanggan beratur seawal pukul 4 pagi untuk berurusan di kaunter seperti yang dilaporkan sebuah portal berita baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, PPTG WPKL menegaskan, pihaknya tidak pernah menghadapi situasi seperti yang dilaporkan sejak kembali beroperasi 4 Mei lalu.

“Di dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), PPTG WPKL perlu mematuhi semua garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Selain turut memastikan saringan suhu badan pelanggan, mengamalkan pemakaian penutup muka dan hidung, penggunaan ‘hand sanitizer’ serta merekod butiran kehadiran pelanggan melalui sistem QR-Code,” katanya.

Menurut kenyataan itu, PPTG WPKL juga membataskan hanya 28 orang pelanggan di kaunter pendaftaran dalam satu-satu masa selain mengamalkan penjarakan sosial.

“Berdasarkan pemerhatian yang dibuat, purata tempoh masa maksimum yang diambil pelanggan untuk menyelesaikan urusan mereka adalah sekitar 1 jam 30 minit (termasuk keperluan pematuhan kepada SOP),” katanya.

Kenyataan itu juga memaklumkan, penggunaan sistem e-Tanah dan Kaunter Setempat Pelbagai Urusan (Single Point of Contact-SPOC) telah banyak membantu memastikan setiap urusan pelanggan dipermudahkan selain menjimatkan tempoh masa berurusan di PPTG WPKL.

“Berdasarkan rekod urusan operasi, sejak 4 Mei sehingga 29 Mei lalu (16 hari bekerja), seramai 6,538 pelanggan telah hadir dan menyelesaikan 9,220 pelbagai urusan di PPTG WPKL.

“Walaupun bilangan kehadiran pelanggan dan jumlah urusan yang hendak diselesaikan didapati agak tinggi sepanjang tempoh ini, namun tiada sebarang aduan kelewatan atau ketidakpuasan hati yang diterima daripada pelanggan.

“Kita sebaliknya menerima pelbagai pujian dan penghargaan terhadap tahap kecekapan operasi kaunter daripada Malaysian Bar Council, Kuala Lumpur Bar, Selangor Bar dan juga orang ramai,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas