Artikel

Lebih dua dekad masih menanti PPR

DIHARAP lebih banyak projek perumahan awam dilaksanakan di seluruh ibu kota bagi memenuhi keperluan rakyat golongan
- Diterbit 12 Oktober 2023 8:49 AM MYT

LEBIH 20 tahun memohon dengan penuh harapan untuk menyewa unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), namun harapan masih hampa. Sehingga kini masih menanti.

Itulah kekecewaan yang dihadapi oleh kelompok miskin dan tidak mempunyai rumah di ibu kota untuk menyewa rumah PPR atau Perumahan Awam (PA) DBKL kerana sewa yang rendah serta dalam kemampuan.

Ada antaranya yang sudah 25 tahun memohon tetapi masih terus menunggu. Masih belum ada bayangan harapan akan menjadi kenyataan. Lantaran itu ada yang terpaksa terus menyewa bilik kecil untuk didiami bersama keluarga. Bayangkan jika keluarga besar bagaimana peritnya mereka.

Memetik laporan media, dalam tempoh 25 tahun itu sudah beberapa kali memohon untuk menyewa PPR. Malangnya nasib belum ada rezeki. Kerana itu terpaksa terus menyewa bilik. Itulah kemampuan yang ada. Di situlah anak-anak dilahir dan dibesarkan.

Adi boleh rasai kepayahan mereka kerana di ibu kota sewa bilik sentiasa naik. Jika di awal menyewa dahulu dalam lingkungan RM200, dalam tempoh 25 tahun sudah mencecah sehingga RM600 sebulan. Jumlah ini lebih tinggi daripada sewa PPR atau PA milik DBKL.

Sudahlah sewa mahal, hidup dalam keadaan ‘sendat’ dan tidak selesa. Pergerakan terhad kerana ruang terlalu kecil. Di situlah tempat rehat, makan dan tidur. Jika keluarga besar, memang terpaksa bersesak-sesak.

Kerana itu yang menyewa mahu keluar daripada tempat sewa sekarang. Harapannya ialah dapat peluang menyewa PPR atau PA yang lebih selesa berbanding sekadar bilik sewa yang sudah menjadi rumah bertahun-tahun.

Namun apakan daya bukan semua berpeluang mendapat unit PPR atau PA. Adi percaya, jika boleh, pihak DBKL sendiri mahu membuka peluang seluas mungkin kepada golongan miskin bandar yang tidak berumah menyewa perumahan DBKL.

Isunya bukan kerana DBKL sengaja tidak mahu memberi tetapi kerana permintaan untuk menyewa PPR dan PA terlalu tinggi. Permintaan jauh mengatasi bekalan. Kerana itu menurut kiraan mudah, memang tidak semua akan berjaya sekali pun beberapa kali membuat permohonan.

Projek pembinaan PPR atau PA baharu selalunya mengambil masa kerana melibatkan pencarian tapak dalam keadaan tanah yang makin terhad di ibu kota. Pembinaan pula jika dilaksanakan akan mengambil masa untuk siap dan menerima penghuni.

Dalam tempoh itu, saban bulan dan saban tahun jumlah yang memohon kian ramai. Barisan yang menunggu bertambah panjang. Mahu tidak mahu hakikatnya ialah, jika pun wujud projek PPR dan PA baharu, ia tidak dapat menampung keperluan semua.

Lagi pun mereka yang sudah sedia menyewa tidak mungkin melepaskan sewaan, kecuali atas sebab-sebab tertentu. Misalnya melanggar peraturan DBKL seperti culas membayar sewa atau pelanggaran disiplin yang serius.

Keadaan ini menyebabkan ruang kosong unit sedia ada untuk dimasuki penyewa baharu sangat terhad. Ini juga punca barisan menunggu makin panjang, penantian makin lama. Mudahnya, jika di dalam ada orang, bagaimana yang di luar hendak masuk.

Kerana itu harapan terletak pada projek-projek baharu PPR atau PA. Namun Adi faham ia bukan mampu menyelesaikan masalah secara tuntas. Katakan, sebagai contoh, ada 100 kekosongan unit tetapi yang memohon ada 1,000, bererti 900 perlu menunggu lagi.

Jika sudah menunggu 25 tahun dan beberapa kali memohon masih belum mendapat tempat, sukar Adi bayangkan nasib pemohon terkemudian atau yang baharu memohon. Entah bila giliran akan sampai.

Memang sedih apabila memikirkan hakikat ini. Tetapi itulah realiti yang perlu dihadapi oleh para pemohon PPR atau PA yang masih dalam senarai menunggu. Belum pasti entah bila yang ditunggu akan tiba.

Kedudukan Kuala Lumpur sebagai ibu kota metropolitan dan pusat eknomi negara menjadikan ia daya tarikan untuk ramai datang ke ibu negara mencari rezeki. Ini fenomena sejak lama kerana beranggapan ibu kota punyai banyak peluang pekerjaan yang boleh mengubah hidup, khususnya bagi yang berasal dari kampung.

Sewaktu masih bersekolah dahulu pun Adi melihat ramai orang kampung yang berkelana ke Kuala Lumpur mencuba mencari kerja dengan meninggalkan kerja tradisi di kampung seperti bekerja di kebun kelapa.

Mereka bangga apabila menjadi orang Kuala Lumpur. Sekali sekala balik kampung boleh bercerita macam-macam dengan orang kampung. Hakikatnya ada yang mampu bertahan mengharungi kehidupan di ibu kota. Tetapi ramai juga yang berpatah balik ke desa meneruskan kerja tradisi.

Apa yang Adi cuba gambarkan ialah kelompok ini juga antara penyumbang kepada persaingan permintaan menyewa rumah seliaan DBKL selain penduduk miskin bandar asal. Ini kerana yang datang dari kampung itu kemungkinannya bekerja dengan pendapatan sederhana sahaja. Kerana itu mereka perlukan kediaman dengan sewa rendah.

Adi sanjung usaha mereka yang mahu berubah, tetapi harus disedari kehidupan di bandar sangat mencabar. Hampir kesemuanya memerlukan wang. Oleh itu bukan sahaja kekentalan fizikal dan minda diperlukan, tetapi juga kewangan yang kukuh.

Kerana itu perlu berjimat dengan apa juga sumber kewangan yang ada. Ini termasuk tempat kediaman. Sudah tentu mahu tempat menyewa kediaman murah dan pada masa sama memohon mendiami PPR atau PA.

Namun kerana Kuala Lumpur menjadi tumpuan dari semua penjuru, ramai yang akan memohon, bersaing dengan penduduk miskin bandar raya sendiri.

Adi puji usaha DBKL yang berusaha bersungguh-sungguh menyediakan perumahan memenuhi keperluan rakyat golongan miskin. Namun Adi juga menyedari kekangan yang dihadapi seperti unit terhad, menyebabkan ia terpaksa memenuhi harapan sebahagian tertentu dan mengecewakan yang lain. Ini bukan disengajakan.

Kerana itu diharap lebih banyak projek perumahan awam dilaksanakan di seluruh ibu kota dalam usaha cuba memenuhi keperluan ini. Pemaju swasta pun perlu ambil sama tanggungjawab ini. Jangan hanya serahkan kepada kerajaan dan jangan hanya bina rumah mahal untuk meraih untung.

Satu perkara yang ingin Adi tekankan mengenai PPR dan PA ialah selaras perubahan masa dan kenaikan bahan binaan, bakal penyewa juga harus bersedia menghadapi kemungkinan kos sewa unit PPR atau PA juga akan naik.

Bagi Adi seelok-eloknya kadar sewa seperti yang ada sekarang dipertahan. Adi percaya DBKL sendiri tidak lupa matlamat projek PPR dan PA adalah untuk keperluan golongan berpendapatan rendah. Tetapi jika ada sedikit kenaikan, sedialah terima. Yang penting ada tempat berlindung untuk diri dan keluarga.

Adi—Perantau di ibu kota

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas