Berita

Hotel boleh mohon jadi pusat kuarantin

KERAJAAN turut mewartakan hotel sebagai pusat kuarantin bagi rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara. Gambar hiasan
- Diterbit 18 April 2020 7:34 AM MYT

PUTRAJAYA – Kerajaan mempelawa mana-mana pengurusan hotel di seluruh negara yang berminat menjadi pusat kuarantin dalam mengekang penularan wabak Covid-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengurusan hotel itu boleh menghubungi pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

“Saya harap lebih banyak hotel tampil dan membantu kerana kerajaan telah mengumumkan pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kepada semua hotel di negara kita.

“Sehubungan itu, kita berharap kerjasama dalam membantu kerajaan berhubung soal kuarantin ini,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menjelaskan, sebanyak 190 pusat kuarantin telah beroperasi semalam berbanding 185 pada hari sebelumnya.

“Seramai 11,861 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara telah dikuarantin wajib sejak 3 April lalu,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas