Labuan

Lebih 700 hadir bacaan yasin

JEMAAH bergambar selepas Majlis Solat Hajat Perdana dan Bacaan Yasin
- Diterbit 12 Januari 2024 10:30 AM MYT

PELAJAR, ibu bapa dan guru menyertai Majlis Solat Hajat Perdana dan Bacaan Yasin yang diadakan di Masjid Sultan Abdullah, Kampung Sungai Bedaun baru-baru ini.

Majlis yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Labuan dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rancha-Rancha itu dirasmikan Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Abidin Marjan.

Menurut beliau pelaksanaan itu merupakan salah satu program yang telah ditakwimkan dalam kalendar jabatan dengan tema Tekad SPM 100 % Kita Punya!

“Program ini bagi mendoakan agar 1,082 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dan 18 pelajar daripada Labuan International School (LIS) memperoleh kecemerlangan dalam peperiksaan penting.

“Ia juga merupakan salah satu cara untuk mendidik pelajar mendekatkan diri serta memohon kepada Allah SWT agar diberi ketenangan dan kejayaan dalam SPM setelah berusaha sedaya upaya sebelumnya.

“Guru, ibu bapa dan komuniti turut mendoakan agar peperiksaan SPM tahun 2023 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur,” ujar beliau yang turut berterima kasih kepada lebih 700 orang yang terlibat dalam program tersebut.

Majlis yang berlangsung selama lebih kurang tiga jam itu melibatkan ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Rancha-Rancha selain jabatan dan agensi kerajaan yang turut sama mendoakan kejayaan calon-calon SPM di Labuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas