Berita

Graduan seimbang aset penting negara, aktiviti kokurikulum bentuk jati diri

SEBAHAGIAN pelajar bergambar pada Karnival Kokurikulum Berkredit di perkarangan UMS-KAL
- Diterbit 12 Januari 2024 10:20 AM MYT

AKTIVITI kokurikulum mampu membentuk jati diri pelajar sebagai persiapan mereka dalam menghadapi cabaran dunia pada hari ini.

Menurut Timbalan Pengarah Kokurikulum Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL), Dr Sharifah Rahamah Amirul, pelaksanaan kokurikulum itu sejajar dengan misi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera.

Katanya, menerusi penganjuran Karnival Kokurikulum Berkredit akan menjadi pemangkin kepada kelahiran mahasiswa yang holistik dan seimbang dari segi aspek jasmani, rohani dan sosial.

“Dengan penganjuran karnival ini sudah tentunya menjadikan mahasiswa kelas pertama yang dapat menyumbang kepada kelestarian dan pembangunan negara khususnya,” katanya kepada pemberita pada Karnival Kokurikulum Berkredit di perkarangan UMS-KAL, baru-baru ini.

Tambahnya graduan yang seimbang merupakan aset penting kepada negara untuk memacu pembangunan dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Selain itu, karnival ini turut memupuk disiplin mahasiswa untuk menjadi seorang pemimpin pada masa hadapan,” jelasnya.

Karnival yang berlangsung selama tiga hari itu disempurnakan oleh Ketua Pentadbiran UMS-KAL, Zamri Mohammad Tuah.

Beliau dalam ucapannya berkata program ini juga memberikan pengalaman dan peluang kepada semua pelajar yang terlibat dalam mengembangkan potensi mereka secara tidak langsung membentuk jati diri yang kukuh bagi setiap pelajar.

Selain itu, beliau turut menzahirkan ucapan tahniah dan syukur atas penganjuran program serta dorongan dari satu gerak kerja oleh semua pelajar yang menunjukkan kesungguhan tinggi dalam menjayakan program tersebut.

“Melalui program sebegini dapat melatih nilai kerjasama di antara pelajar dan organisasi luar dalam mengadakan program serta memantapkan lagi kemahiran insaniah mahasiswa itu sendiri.

“Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan dan menjadi satu asas atau elemen penyatuan dalam semangat berpasukan serta satu keraian yang akan mengeratkan lagi silaturahim sesama pelajar, pensyarah dan seluruh warga UMS-KAL serta Labuan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas