Berita

Aktiviti golf bersama media

ISMIFARIZAL (tengah) menjuarai kategori Gross Kejohanan Golf
- Diterbit 12 Januari 2024 10:40 AM MYT

KEJOHANAN Golf Tahun Baharu Jemputan Media 2024 yang diadakan di padang Labuan International Golf Club (LIGC) bakal menjadi acara tahunan yang menarik pada masa hadapan.

Pengerusi Persatuan Penggiat Media Labuan, Jainuddin Djimin berkata acara tersebut mendapat sambutan menggalakkan selain merupakan antara aktiviti santai yang bermanfaat.

“Kerjasama daripada pihak yang terlibat antaranya Perbadanan Labuan dan LIGC merupakan satu gabungan yang hebat dan akan diteruskan seperti biasa.

“Kita ucapkan syabas kepada para pemain dan tidak lupa juga kepada pihak yang bertungkus lumus untuk menjayakan kejohanan ini,” ujar beliau.

Tambahnya seramai 40 peserta yang terdiri daripada pemain tempatan telah menyertai kejohanan 18 lubang tersebut dengan jayanya.

Terdahulu, kejohanan tersebut menyaksikan Idris Mohamad dan Ismifarizal Mohammad Ishak dinobatkan sebagai juara bagi kategori Gross VIP dan Jemputan. Idris Mohamad yang beraksi pada Kategori VIP berjaya mencatatkan 82 pukulan sekali gus menewaskan 15 pemain VIP yang lain.

Naib juara bagi kategori VIP dimenangi oleh Datuk Hung How Kiong dengan catatan 88 pukulan. Manakala, tempat ketiga dimenangi oleh Taufik Al dengan 91 pukulan.

Manakala bagi kategori Gross jemputan pula, Mohd Ismifarizal berjaya melakukan 89 pukulan seterusnya meraih hadiah berupa wang tunai meninggalkan pemain di tempat kedua dan ketiga iaitu A Roslee Karim dan Mohd Alif Gapilin. Sementara untuk kategori Nett, Helmi Bali melakukan 70 pukulan dua bawah par bagi meraih gelaran juara.

Kejohanan yang berlangsung pada Sabtu lalu itu merupakan anjuran Persatuan Penggiat Media Labuan dengan kerjasama Perbadanan Labuan dan LIGC. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas