Fokus

Lebih 40 tahun bersahabat mesin masa

ZAINAL (kanan) dan Fitri menunjukkan koleksi eksklusif yang habis dijual.
- Diterbit 1 Disember 2023 2:10 AM MYT

Oleh: AMIN FARIJ HASAN
Foto: SYUQQREE DAIN

JAM ini ibarat nyawa, 24 jam berputar tanpa henti. Seperti kehidupan kita juga. Falsafah kehidupan ini membuatkan jam begitu dekat dengan saya. Sebab itu saya memang meminati dunia jam semenjak kecil sehingga sekarang,” kata Pengasas Fateh Watches, Zainal Mohd Ali.

Fateh Watches adalah jenama jam pertama keluaran anak tempatan yang telah menerima ‘Malaysia Good Design Award 2022’ yang diiktiraf oleh Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM).

Memulakan karier sebagai jurutera mekanikal, Zainal mengembangkan karier profesionalnya dalam bidang pembuatan jam selepas mendapat peluang bekerja di Switzerland pada tahun 1974. Selepas lebih 40 tahun pengalaman dalam industri pembuatan jam, beliau nekad untuk memulakan perniagaan mesin masa itu dengan jenamanya sendiri, Fateh Watches.

Mengakui banyak kesilapan telah dilakukan dan bukan mudah untuk memperkenalkan jam dengan jenama sendiri, Zainal tidak sesekali berputus asa. Malah beliau sentiasa menguatkan semangat dan belajar daripada pengalaman lalu untuk terus memastikan legasi yang diasaskannya dapat berkembang seperti apa yang ada pada hari ini.

“Saya sangat bersyukur kerana segala usaha ini turut dibantu oleh anak lelaki saya, Fitri Zainal. Jenama Fateh ini juga adalah ilham daripada beliau sebagai memperingati Kemahsyuran Sultan Muhammad Al-Fatih yang berjaya menakluk Kota Konstantinopolis ketika usia 21 tahun,” beritahunya kepada Wilayahku.

Menariknya demi menjaga eksklusiviti, hanya 300 utas jam tangan dihasilkan bagi sesebuah rekaan yang dijual pada harga RM500 hingga RM3,500.

SETIAP rekaan Fateh Watches disimpan untuk didokumentasikan sebagai sejarah.

Bercerita lanjut mengenai pengalamannya yang pernah bekerja di Utara Switzerland, Malaysia dan China, Zainal berkata disiplin adalah perkara utama untuk menghasilkan sebuah jenama jam yang berkualiti dan menepati piawaian industri pembuatan jam antarabangsa.

“Kita harus mengikuti disiplin dan cara kerja orang Switzerland serta budaya kerja warga Jerman yang sangat fokus, kreatif, teliti dan sangat proaktif dengan apa yang mereka lakukan.

“Dan inilah yang saya amalkan untuk mencipta legasi pembuatan jam sehingga mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Malaysia.

ZAINAL dan Fitri bersama trofi dan sijil pengiktirafan oleh MRM.

“Di samping itu, saya berharap agar suatu hari nanti impian untuk membuka sebuah kilang pembuatan jam Fateh Watches menjadi kenyataan dan ingin menghantar mahasiswa kita dalam bidang kejuruteraan mikro ke luar negara bagi menimba pengalaman seperti mana yang saya lalui dahulu,” katanya.

Pembaca boleh menonton video temu ramah penuh dengan mengimbas kod QR yang disediakan.

Kepada pembaca yang mempunyai kisah dan hobi yang menarik dan ingin berkongsi dengan kami, sila e-mel [email protected]. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas