Biz

Therapeucake.co terus diburu ramai

- Diterbit 1 Disember 2023 2:25 AM MYT

BERMODALKAN RM80, kini Therapeucake.co yang dibuka tiga tahun lalu semakin dikenali ramai kerana kelazatan dan keunikan kek yang diperkenalkan.

Berkongsi permulaan menapak dalam bisnes tersebut, pemiliknya Farah Nurul Asyikin, 28, berkata idea tersebut bermula ketika negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

FARAH NURUL

“Ketika pandemik, saya dalam fasa mencari kerja, waktu itu juga saya lihat trend jualan makanan dalam talian melonjak memandangkan ketika itu rakyat hanya duduk di rumah. Dalam masa yang sama, tular di laman sosial pencuci mulut tom and jerry cheesecake.

“Dari situ, saya dapat idea untuk menghasilkan kek tersebut dan tidak sangka ramai yang suka. Selepas setahun barulah saya mempelbagaikan perisa lain,” ujarnya resipi hanya dipelajari melalui laman YouTube dan ditambah baik mengikut cita rasa sendiri.

Kini, selain tom and jerry, Therapeucake.co menawarkan pelbagai perisa kek antaranya ice cream cheesecake, cakesickels, bunga cupcakes dan butter cookies.

“Pembeli boleh memilih rekaan yang mereka suka sementara dalam masa yang sama kita juga mengeluarkan rekaan sendiri. Di sini produk yang dikeluarkan hanya berdasarkan tempahan bagi mengelakkan kek tidak segar dan alhamdulillah setakat ini permintaan pelanggan kita dapat penuhi,” ujarnya turut meluangkan masa mengikuti kelas asas pembuatan kek.

Bercerita tentang keunikan kek yang terdapat di Therapeucake.co, Farah berkata rekaan yang dikeluarkan lain daripada lain ditambah pula dengan warnanya yang berwarna-warni membuatkan pelanggan tertarik untuk membeli.

Sanggup bayar lebih

BERPUSAT di Ampang namun pelanggannya ada yang datang dari luar kawasan antaranya Dengkil dan Semenyih. Malah, mereka tidak kisah untuk membayar kos penghantaran sehingga RM80 semata-mata untuk mendapatkan air tangan Farah.

“Itu merupakan satu penghargaan yang tidak ternilai buat saya. Sokongan daripada pelanggan juga membuatkan saya terus bertahan sehingga ke hari ini.

“Selain itu, untuk memperkukuhkan lagi perniagaan, saya kini baru sahaja membuka baking studio sendiri di kawasan deretan kedai di kawasan Ampang sekali gus ia merupakan antara kejayaan bagi diri saya,” jelasnya harga kek yang ditawarkan bermula serendah RM3 sehingga RM160 ke atas. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas