Berita

Tiga acara besar buka peluang kerja

SEBAHAGIAN calon yang menghadiri temuduga skim PSH di IDB, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur baru-baru ini.
- Diterbit 23 Januari 2020 5:47 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kesan limpahan inisiatif tiga acara besar yang bakal diadakan di ibu kota tahun ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuka peluang pekerjaaan melalui skim Pekerja Sambilan Harian (PSH) melibatkan peruntukan sejumlah RM10 juta.

Acara tersebut ialah Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020, Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia (KLWBC) 2020 bermula April ini dan Per­sidangan Anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada November depan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad ber­kata, kesan limpahan daripada program-program berkenaan mendorong pertumbuhan ekonomi sekali gus membantu menjana pendapatan kepada kumpulan B40.

Beliau berkata, bagi tujuan itu DBKL merancang mengisi 229 kekosongan jawatan kepada individu-individu ber­kelayakan di sekitar ibu kota.

“Terdapat keperluan untuk meningkatkan tenaga kerja DBKL untuk menampung beban kerja yang lebih tinggi ekoran peningkatan ketibaan pelancong melalui kempen TMM 2020, KLWBC 2020 dan APEC 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datuk Dr. Tan Yee Kew.

Khalid berkata, daripada peruntukan RM10 juta itu, RM4.3 juta akan dibelanjakan untuk pengambilan PSH manakala RM5.7 juta lagi digunakan untuk mewujudkan peluang pekerjaan.

Jelas beliau, pihaknya telah meminta Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk mewujudkan perjawatan bagi pengurusan taman-taman di bawah seliaan DBKL.

PEGAWAI DBKL membuat semakan dokumen-dokumen yang dibawa calon sebelum proses temuduga.

“Kita hendak pekerja se­penuh masa untuk membantu menguruskan taman-taman ini, bukan yang datang sekali-sekala apabila ada adu­an.

“Kita mahu ia dipantau dan diurus 24 jam dan kita mahu jawatan seperti pengurus dan pembantu pengurus diwujudkan kerana DBKL telah membelanjakan ratusan juta ringgit untuk membaik-pulih dan mengindahkan taman-taman tersebut dan ia perlu diuruskan dengan baik,’’ katanya.

Dalam pada itu, sesi ujian lasak dan temuduga terbuka di Institut Latihan DBKL di Bandar Tun Razak di sini te­lah dijalankan bagi pengambilan kakitangan di bawah skim PSH melibatkan calon dengan kelayakan Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pada 21 Januari lalu.

Calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula diadakan pada 22 Januari manakala calon Diploma pada 23 Ja­nuari.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas