Berita

Lebih 1,000 pelajar sertai perkongsian ilmu berkaitan Institusi Pengajian Tinggi

PENGANJURAN karnival haluan kerjaya penting untuk pelajar memilih kursus yang tepat di IPT.
- Diterbit 25 September 2022 2:00 AM MYT

KARNIVAL Pendidikan dan Haluan Kerjaya Putrajaya 2022 yang berlangsung dari 23 hingga 25 September menerima lebih 1,000 penyertaan pelajar dari sekolah sekitar Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor.

Bertempat di Auditorium Cempaka Sari, Presint 3, Putrajaya, karnival tersebut merupakan anjuran ANS Diversified Sdn Bhd bersama Perbadanan Putrajaya (PPj) menerusi Kelab Jabatan Perkhidmatan Bandar (JPB).

AMEERA NADIA

Menurut Pengarah Urusan ANS Diversified Sdn Bhd, Ameera Nadia Mohd Shafiee, program dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPPWP) itu bertujuan berkongsi informasi terkini dan maklumat berkaitan kursus kemahiran serta pengajian yang ditawarkan oleh Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

“Ia juga diadakan bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pelajar mengenai peluang pendidikan dalam pelbagai bidang serta membantu mereka membuat persediaan awal demi kecemerlangan hidup.

“Ini medium yang baik untuk memberi pendedahan kepada pelajar tentang pendidikan di peringkat lebih tinggi dan bidang kerjaya semasa,” ujarnya kepada Wilayahku.

Di samping itu, Ameera Nadia berkata perkongsian dan pendedahan maklumat terkini dari alam pendidikan ke alam kerjaya dapat membantu pelajar bersedia dengan lebih baik untuk mengharungi kehidupan selepas zaman persekolahan.

“Pilihan bidang yang sesuai juga akan menjamin pekerjaan yang terbaik pada masa hadapan. Buat pengetahuan semua, penyertaan ini tidak terhad kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja tetapi kita juga buka kepada pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Matrikulasi dan sesiapa sahaja yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA mahupun IPTS.

“Kami turut menggalakkan penyertaan golongan yang sudah bekerja tetapi berhasrat untuk menyambung pelajaran secara separuh masa serta pelajar antarabangsa yang ingin menyambung pelajaran di Malaysia,” tambahnya.

Dalam pada itu, dia turut menyeru pelajar agar menaruh minat terhadap kerjaya yang diimpikan pada masa hadapan dan memilih bidang pengajian yang bersesuaian.

“Keadaan semasa dan ekonomi dunia memerlukan bakal pekerja yang kompetitif serta mempunyai pelbagai kemahiran yang diperolehi secara formal dan tidak formal. Justeru itu, jangan lepaskan peluang, jom meriahkan karnival yang bermula seawal pukul 9 pagi ini,” ujarnya yang turut menjelaskan Yayasan Digital Malaysia juga terlibat dalam menjayakan karnival tersebut. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas