Berita

‘Kaya’ tapi liat bayar sewa

ANWAR menunjukkan peralatan rumah dimiliki penyewa PPR yang culas membayar sewa.
- Diterbit 6 Mac 2020 7:07 AM MYT

KUALA LUMPUR – Siapa sangka segelintir penyewa kediaman di Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebenarnya hidup dengan cara mewah namun liat hendak bayar sewa sehinggakan ada yang mempunyai tunggakan mencecah berbelas ribu ringgit.

Mereka bukannya hidup susah. Ini terbukti apabila pemeriksaan dilakukan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), mereka dengan selamba boleh pula melunaskan tunggakan sewa secara tunai hingga mencecah ribuan ringgit untuk mengelakkan daripada dikenakan tindakan usir.

Ada dalam kalangan penyewa dilihat mampu memiliki peralatan dan perkhidmatan seperti langganan Internet, perabot rumah berjenama, langganan penapis air berjenama dan televisyen LCD 40 inci.

Terdapat juga unit PPR diubah suai tanpa kebenaran DBKL dengan memasang jubin dan kemasan lantai kayu dipercayai memakan kos yang tinggi tetapi penyewanya liat membayar sewa sebanyak RM124 sebulan.

Sedangkan, laporan tahun lalu menyebut seramai 25,000 pemohon yang layak menduduki senarai menunggu untuk mendapatkan PPR ekoran tiada kekosongan.

Dalam satu tindakan penguatkuasaan diketuai Pengarah Eksekutif Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff di PPR Intan Baiduri, Kepong baru-baru ini, tiga penyewa diberi notis pengusiran 14 hari selepas mereka gagal menunaikan tunggakan sewa mereka yang mencecah belasan ribu ringgit.

Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Bandar DBKL, Anwar Mohd. Zain berkata, penyewa terbabit diberikan peringatan awal Februari lepas agar membayar tunggakan dalam tempoh tujuh hari tetapi mereka gagal berbuat demikian.

“Salah satu unit mempunyai tunggakan mencecah RM17,000 dan tidak membayar sewa lebih 10 tahun,” katanya dalam sidang akhbar baru-baru ini.

Anwar berkata, proses banci yang dilakukan awal bulan ini berjaya mengenal pasti penyewa seramai 65 daripada 1,410 penyewa di PPR Intan Baiduri mempunyai tunggakan sewa melebihi RM3,000.

“Penyewa-penyewa ini dikategorikan dalam golongan berpendapatan rendah, menengah dan atas. Seramai 10 penyewa dalam kategori kaya diberi notis tuntutan untuk membayar tunggakan sewa dalam tempoh seminggu,” katanya.

Tambah beliau, tujuh penyewa telah membayar setakat ini termasuk melunaskan tunggakan mencecah ribuan ringgit secara tunai.
“PPR Intan Baiduri menjadi lokasi pertama diperiksa kerana ia mempunyai tunggakan terkumpul tertinggi berjumlah RM1 juta,” katanya sambil menambah sasaran seterusnya ialah PPR Bukit Jalil.

Anwar berkata, pihaknya sebelum ini tidak mengambil tindakan me­ngusir kerana mempertimbangkan masalah kewangan di­hadapi penyewa dalam kategori berpendapatan rendah dan sederhana.

“Kami juga akan berhubung dengan agensi berkaitan untuk membantu mereka membayar sewa,” katanya. –  WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas