Berita

Jabatan Mufti akan tentukan hukum ‘FaceApp’ – Ahmad Murzuk

AHMAD MARZUK ketika berucap pada Majlis Town Hall bersama Pegawai dan Kakitangan Agensi Agama Wilayah Persekutuan di Kompleks Darul Kifayah hari ini.
- Diterbit 22 Jun 2020 1:13 PM MYT

KEPUTUSAN berhubung hukum penggunaan aplikasi FaceApp yang menukar wajah sehingga mengakibatkan kekeliruan perlu ditentukan oleh mufti melalui Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).

Ini kerana, tegas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary, aplikasi yang kini menjadi fenomena itu boleh mengelirukan dan secara prinsip asasnya sebarang usaha yang mendatangkan kekeliruan kepada orang ramai dengan pelbagai cara tidak dibenarkan sama sekali.

“Sebarang keputusan mengenai penggunaan aplikasi tersebut akan dirujuk kepada Jabatan Mufti dalam merungkaikan soal hukum,” katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika diminta mengulas tentang isu penggunaan aplikasi FaceApp yang semakin berleluasa pada masa ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Town Hall bersama Pegawai dan Kakitangan Agensi Agama Wilayah Persekutuan di Kompleks Darul Kifayah hari ini.

FaceApp merupakan satu aplikasi yang dapat menukarkan wajah pengguna sama ada lelaki kepada perempuan atau sebaliknya.

Ia seolah-olah menjadi satu fenomena apabila orang ramai mula memuat naik foto tukar wajah di media sosial. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas