Berita

Keselamatan, kesihatan atlet keutamaan KBS

REEZAL MERICAN (tengah) berkunjung ke Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memantau atlet-atlet negara yang terjejas akibat Covid-19.
- Diterbit 22 Mac 2020 9:25 AM MYT

KUALA LUMPUR – Keselamatan dan kesihatan atlet negara serta pegawai akan diberi keutamaan yang tertinggi sebelum keputusan muktamad dibuat berkaitan penyertaan kontinjen negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Jepun yang dijadualkan bermula 24 Julai nanti.

Ia berikutan ancaman wabak Covid-19 yang sedang menular di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengambil maklum pendirian Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) dalam komitmen mereka untuk bersama-sama Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Tokyo 2020 meneruskan penganjuran mengikut jadual.

“Saya mengambil maklum pendirian IOC. Walaupun pendirian tersebut mendapat reaksi pelbagai pihak, namun masih belum ada kepastian dan keputusan yang muktamad tentang status penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020,” katanya dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini IOC mengadakan satu persidangan video untuk mendapatkan pandangan dari 45 buah negara benua Asia melalui Jawatan Kuasa Olimpik Nasional (NOC) masing-masing sementara Malaysia diwakili Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang merupakan ahli gabungan IOC.

Kesemua 45 negara tersebut bersetuju dengan cadangan meneruskan penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020 mengikut jadual buat masa kini dan undian sokongan yang dibuat MOM adalah berdasarkan beberapa syarat.

Antaranya, pihak IOC akan berusaha membuat perubahan yang adil dalam proses kelayakan atlet-atlet, aspek kesihatan dan keselamatan atlet dan pegawai menjadi kepentingan utama serta semua pihak terus memantau perkembangan terkini ancaman Covid-19 dari masa ke semasa.

Mengulas lanjut, Reezal Merican menyatakan, IOC yang secara keseluruhannya mempunyai 206 ahli gabungan perlu dan akan mendapatkan pandangan majoriti sebelum membuat keputusan muktamad.

“Saya memberi jaminan bahawa KBS dan MOM akan sentiasa bekerjasama untuk memastikan aspek keselamatan dan kesihatan atlet serta pegawai negara diberi keutamaan sebelum keputusan muktamad dibuat nanti,” katanya.

Sukan Olimpik 2020 yang akan diadakan di Tokyo, Japan dijadualkan berlangsung pada 24 Julai hingga 9 Ogos ini berkemungkinan ditunda akibat penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas