Berita

Warga asing: NGO, pemimpin politik tak perlu jadi hero

PETUGAS kesihatan melakukan proses saringan ke atas pekerja asing untuk mengelak penularan Covid-19.
- Diterbit 27 Mei 2020 7:52 AM MYT

PUTRAJAYA – Jangan tuduh Malaysia tidak perikemanusian pekerja asing , tegas Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, Malaysia telah melakukan pelbagai langkah khususnya semasa pandemik Covid-19 ini bagi memastikan keselamatan pekerja warga asing itu.

Ujar Ismail Sabri, perkara itu termasuk melakukan saringan swab Covid-19, menghantar ke depot tahanan sekiranya tidak mempunyai permit sah atau pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan memberikan makanan secukupnya.

“Tidak baik tuduh Malaysia bertindak tanpa perikemanusian. Sebenarnya negara lain jauh lebih teruk dalam mengenalikan PATI .

“Kita ini kira baik, jadi tidak payah pemimpin politik atau NGO menjadi hero,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kritikan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) berkaitan tindakan dilakukan terhadap pekerja asing yang disifatkan tidak adil ketika ini.

Ismai Sabri menjelaskan SUHAKAM sebenarnya keliru kerana pekerja asing di Malaysia boleh dibahagikan kepada dua kategori.

Beliau berkata, ini termasuk kategori pertama yang mempunyai permit pekerjaan dan dicarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Kita menjaga kepentingan mereka dengan menutup tapak binaan apabila berlaku Covid-19 dan melakukan saringan ujian swab kepada pekerja asing.

“Kita setuju memerlukan mereka dalam sektor pembinaan, peladangan dan sebagainya dalam sektor 3D. Kerajaan mengikut peraturan dibuat Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan isu timbul apabila melibatkan mereka yang masuk secara haram tanpa sebarang permit kerja.

“Kalau berlaku peningkatan, kita letakkan mereka dua lokaliti (Hospital Kusta Sungai Buloh dan wad bersalin lama Hospital Kuala Lumpur) selain Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

“Kalau nak kata kerajaan Malaysia tidak perikemanusiaan terhadap PATI adalah tidak betul. Namun tidak ubah status mereka walaupun layan dengan baik tetap adalah PATI,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas