Selebriti

Lala istiqamah berhijab

- Diterbit 17 Januari 2020 8:21 AM MYT

HAMPIR tiga bulan mengenakan hijab, pelakon cantik Wan Sharmila, 38, atau mesra dengan panggilan Lala mengakui dia masih lagi berasa kekok dengan keadaan tersebut. Malah dia pernah terlupa untuk mengenakan hijab.

“Bayangkan saya pernah terlupa untuk memakainya. Lama saya duduk di hadapan cermin, patutlah rasa lain macam. Mujurlah belum melangkah ke luar rumah lagi,” ujarnya sambil tertawa mengenangkan peristiwa tersebut.

Pun begitu, dia sentiasa berusaha menyesuaikan diri agar kekal istiqamah biarpun kadang-kadang masih ada suara-suara sumbang yang memperlekehkan keputusannya itu. Bagi Lala, apa yang penting, dia perlu menguatkan hatinya.

“Ada sesetengah individu dengan sinis menganggap saya hanya akan mampu bertahan sementara dengan imej berhijab. Namun saya cuba untuk tidak peduli dan yang pasti tidak melayan hal-hal negatif tersebut.

“Bagi saya apa yang saya lakukan ini adalah suruhan agama dan bukan hanya kerana fesyen. Apa pun, saya akui semuanya memerlukan masa dan diri ini masih dalam proses ke arah yang lebih baik lagi,” ujar pelakon ini.

Selain itu, menurutnya lagi, dia sangat beruntung kerana peminat-peminat di luar sana sentiasa menyokong apa yang dilakukannya.

Malah, dia tidak putus-putus menerima mesej sokongan dan doa di atas penghijrahannya itu.

Ditanya adakah masih menerima tawaran lakonan biarpun telah berhijab, Lala mengakui tawaran tetap sama seperti dahulu malah lebih meluas lagi.

“Saya percaya pada rezeki kerana ia ditentukan oleh Allah. Semakin kita mendekati-Nya, Insya-Allah semuanya baik-baik sahaja. Dalam masa sama, masyarakat sekarang lebih terbuka tentang hal ini.

“Cuma apa sahaja keputusan yang kita lakukan pasti ada cabarannya yang tersendiri. Kalau dahulu, ketika di set penggambaran, mungkin saya hanya mengambil masa sekejap sahaja untuk bersiap berbanding sekarang tetapi saya yakin apabila sudah terbiasa nanti ia akan kembali seperti sedia kala,” ujarnya.

Berbicara tentang perkembangan terbaharunya, pelakon yang mula dikenali dalam siri popular Kisah Kaisara ini sedang sibuk menjalani pengambaran telefilem berjudul 7 Hari Mencintaiku 2.

Bisnes

Semakin mengorak langkah dalam bidang perniagaan, kini produk jamu Aura Kasih yang diusahakan bersama rakan kongsinya semakin diterima ramai dan sudah diperluaskan ke pasaran Singapura dan Brunei.

“Alhamdulillah hampir satu tahun di pasaran produk berasaskan buah-buahan dan herba yang diusahakan ini nampaknya sudah mempunyai peminat tersendiri yang sentiasa setia menggunakannya.

“Sekarang saya juga agak sibuk dengan produk ini dan dalam perancangan untuk mengukuhkan label disamping bakal memperkenalkan rangkaian produk Aura Kasih terbaharu dalam tahun ini juga,” ujarnya.

Kata Lala lagi, sejak berhijab, dia turut bersyukur kerana penerimaan pelanggan terhadap dirinya amat luar biasa berbanding sebelum ini.

“Saya pun tidak tahu mengapa tetapi yang pasti ketika berkunjung ke Singapura dan Brunei baru-baru ini, mereka mudah mendekati dan mesra dengan saya,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas