WK2

Gaya moden ubah pandangan mengenai perpustakaan

RUANG perpustakaan yang luas dan selesa. RUANG perpustakaan yang luas dan selesa.
- Diterbit 17 Januari 2020 6:57 AM MYT

PROSES pengubahsuaian Perpustakaan Kuala Lumpur (PKL) adalah untuk memberikan wajah baharu dan menukar sudut pandang masyarakat mengenai perpustakaan.

Timbalan Pengarah Kanan (Arkitek) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Norzaini Noordin berkata, proses pengubahsuaian ruangan dalaman perpustakaan ini dilakukan agar ia kelihatan lebih kontemporari dan moden.

“Langkah itu bagi menarik golongan muda untuk menjadikan perpustakaan sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka.

“Selain itu, dengan pelbagai ruangan yang diwujudkan seperti kafe dengan reka bentuk moden pasti akan memberikan impak positif terhadap perpustakaan ini,” katanya.

Menurut Noorzaini, hiasan dalaman di dalam perpustakaan turut dilengkapi sudut muzik kerana pembelajaran kini lebih interaktif.

“Ruangan muzik yang disediakan adalah bertutup dan sebarang bunyi yang terhasil ia pasti tidak akan mengganggu pengunjung lain.

“Ia bakal menjadi tumpuan untuk penggiat muzik mendapatkan bahan bacaan selain menjadi tempat untuk kumpulan muzik DBKL menjalankan aktiviti berkaitan,” katanya.

Noorzaini berkata, peradaban dan kemajuan sesebuah negara turut dikaitkan dengan perpustakaan kerana ia merupakan lubuk ilmu.

“Dengan wajah baharu perpustakaan ini, diharapkan golongan muda dapat memanfaatkan kemudahan ini untuk kemajuan negara pada masa akan datang,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas