Selera

Ais krim gula apong resepi unik dari Bumi Kenyalang

AIS krim gula apong bersalut nestum yang siap dan sedia dinikmati. AIS krim gula apong bersalut nestum yang siap dan sedia dinikmati.
- Diterbit 17 Januari 2020 8:51 AM MYT

AIS krim gula apong mempunyai aroma yang wangi dan rasa yang lain berbanding ais krim biasa di pasaran

MAKANAN tradisi gula apong yang popular di Sarawak kini diketengahkan menjadi ais krim yang semakin mendapat tempat di Semenanjung Malaysia.

Pemilik gerai DP Ice Cream Gula Apong, Masitah Datuk Paruwadi, 32, menceritakan, ais krim berperisa gula apong yang diperkenalkan sejak tahun 2014 di Kuching itu menggunakan resipi yang diperolehi daripada bapanya.

“Penyediaan gula apong bukanlah semudah seperti yang disangka kerana prosesnya agak panjang. Gula daripada pokok nipah ini hanya diproses di Sarawak yang mana ia akan mengambil masa berhari-hari untuk mendapatkan nira sebelum dimasak sehingga empat lima jam,” ujarnya.

AIS krim gula apong

Katanya, ais krim gula apong mempunyai aroma yang wangi dan rasa yang lain berbanding ais krim biasa di pasaran.

“Jika gula melaka mengeluarkan bau yang wangi, begitu juga dengan gula apong yang berbau seperti pokoknya,” ujar anak sulung daripada tiga orang adik-beradik ini lagi.

Menggunakan jenama DP Ice Cream Gula Apong, anak kelahiran Kuching ini memiliki lebih 10 cawangan termasuk di Kampung Baru, Kuala Lumpur, Sarawak, Sabah dan Kuta, Bali, Indonesia.

“Alhamdulillah, untuk masa akan datang saya mengatur strategi untuk mengukuhkan jenama ini bukan sahaja di seluruh Malaysia bahkan di luar negara,” ujarnya.

Menurut Masitah lagi, jika di cawangan Kampung Baru, dia boleh menjual sekurang-kurangnya 300 cawan ais krim gula apong bersalut nestum pada hari-hari biasa.

“Pada hari minggu dan cuti sekolah pula, kebiasaannya jualan kami boleh mencecah 700 cawan sehari,” ujarnya yang mengenakan harga RM3 bagi cawan kecil dan RM6 bagi cawan besar.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas