Berita

Lahir, sakit dan mati di Kuala Lumpur

KOMPLEKS baharu Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur yang lebih selesa.
- Diterbit 15 November 2019 6:43 AM MYT

Pada September lalu, Hospital Bersalin Kuala Lumpur yang sudah berkhidmat 56 tahun untuk warga kota telah mengakhiri hayatnya dengan fungsinya diambil alih oleh Hospital Wanita dan Kanak-kanak yang terletak tidak jauh dari situ.

Dengan usia 56 tahun itu bermakna, ia mula beroperasi pada 1963, ketika Persekutuan Malaysia ditubuhkan.

Adalah dipercayai sebelum itu, tempat ibu bersalin adalah di Wad Bersalin yang merupakan sebahagi­an daripada Hospital Besar Kuala Lumpur atau General Hospital Kuala Lumpur (GHKL).

Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kuala Lumpur yang baharu ini adalah hasil daripada kemajuan sistem pentadbiran kesihatan yang sudah berubah.

Hospital Wanita dan Kanak-kanak merupakan konsep hospital terkini yang mana klinik untuk rawatan kanak-kanak atau disebut sebagai pediatrik digabungkan dengan klinik untuk wanita termasuklah hal ehwal bersalin.

Reka bentuk seni bina Hospital Bersalin Kuala Lumpur mempunyai ciri-ciri modenis yang popular pada tahun 1963, yang turut banyak mewarnai bangunan-bangunan di ibu kota selepas negara mencapai kemerdekaan.

Bangunan-bangunan ini termasuklah Rumah Persekutuan atau Federal House, Bangunan Parlimen dan Masjid Negara yang menjadi mercu tanda Kuala Lumpur. Begitu juga bangunan-bangunan fakulti yang ada dalam Universiti Malaya, Wisma Putra lama dan Dewan Bahasa dan Pus­taka, Maktab Perguruan Bahasa dan Angkasapuri.

Gelombang kedua reka bentuk seni bina modenis yang lebih unik muncul dalam bentuk kompleks baharu Hospital Besar Kuala Lumpur dan bangunan Bank Negara dan Dewan Canselor Tunku Abdul Rahman (Dectar). Kedua-dua gelombang itu mencorakkan landskap ibu negara.

Selepas 50 tahun berlalu, reka bentuk seni bina Malaysia juga berubah dan ia dapat dilihat bukan saja pada bangunan-bangunan baharu ke­rajaan di Kuala Lumpur dan Putrajaya. Apabila Hospital Besar Kuala Lumpur diubah suai, maka tentulah reka bentuk seni binanya juga mencerminkan aliran binaan berbeza.

Maka begitu juga bangunan Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kuala Lumpur mempunyai reka bentuk seni bina yang lebih segar berbanding Hospital Bersalin Kuala Lumpur.

Sementara itu, klinik pesakit luar diasingkan untuk menjadi Klinik Ke­sihatan Kuala Lumpur yang bangunan baharunya terletak di seberang Jalan Tun Razak.

Namun kawasan sekitar Jalan Tun Razak dan Jalan Pahang masih me­rupakan kawasan berkaitan dengan kesihatan.

Di situ terdapat Institut Penye­lidikan Perubatan (IMR) dan juga Institut Perubatan Respiratori (IPR) Hospital Kuala Lumpur yang bermula sebagai Klinik Tibi pada tahun 1958. Tibi bermaksud tuberkulosis atau penyakit batuk kering.

Di Jalan Pahang juga terdapat hospital swasta Hospital Tawakal. Selain itu, pejabat Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) juga berada di jalan itu.

Di Jalan Raja Muda Aziz terletak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kampus Kuala Lumpur yang menempatkan Fakulti Pergigian, Fakulti Farmasi dan Fakulti Sains Kesihatan.

“Kawasan meliputi sekitar Jalan Pahang, Jalan Raja Muda Abdul Aziz dan Jalan Tun Razak merupakan tiga segi tapak perubatan penting di Kuala Lumpur.

Pejabat Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) juga terletak di jalan itu.

Tetapi di Jalan Tun Razak, banyak lagi institusi kaitan perubatan selain daripada Klinik Kesihatan yang baharu itu.

Di situ terdapat Tabung Darah Negara, Hospital Pusrawi dan Institut Jantung Negara (IJN).

Kawasan meliputi sekitar Jalan Pahang, Jalan Raja Muda Abdul Aziz dan Jalan Tun Razak merupakan tiga segi tapak perubatan penting di Kuala Lumpur.

Dari kawasan itulah, beribu-ribu warga kota lahir di Hospital Bersalin.
Sebagai bayi dan kanak-kanak, mereka juga mendapat rawatan di situ dan selanjutnya juga berlanjutan apabila mereka dewasa.

Rawatan

Apabila mereka sudah ber­anak-pinak, sebahagian daripada mereka terus memperoleh rawatan di situ dari semasa ke semasa atau melakukan pemeriksaan kesihatan apabila melanjutkan pelajaran atau memasuki dunia pekerjaan.

Akhirnya setelah bersara, sebagai warga emas, ramailah yang terus mendapatkan rawatan di situ. Di samping itu, banyak juga yang meninggal dunia di hospital di kawasan itu.

Di hospital itu terdapat sebuah masjid yang sering menjadi tempat sembahyang dan berdoa oleh pewaris-pewaris pesakit yang menampilkan kesedaran bahawa betapa rapuhnya kehidupan ini.

Dengan adanya hospital itu, tentu­lah terdapat banyak orang yang menjayakan fungsinya untuk menjalankan perkhidmatan untuk pesakit. Daripada doktor, jururawat dan pe­tugas-petugas hospital termasuklah pengarah dan bahagian pentadbiran. Maka berhampiran hospital itu terdapat kuarters doktor, jururawat dan petugas hospital.

Dalam hospital itu terdapat kantin, tetapi berhampiran kawasan hospital itu, ada medan selera di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sudah lama bertapak iaitu bersebelahan dengan Stadium Jalan Raja Muda Abdul Aziz yang menempatkan juga Kompleks Sukan MSN, Majlis Sukan Negara.

Selain stadium itu, tempat riadah yang berhampiran dengan kawasan itu ialah Taman Tasik Titiwangsa, yang sekarang dalam kerja membaik pulih. Orang sihat dan mahu mengekalkan kesihatan akan beriadah di tasik itu. Di sebelah taman itu terdapat padang golf.

Tetapi institusi-institusi ke­budayaan yang membuatkan kehidupan lebih bererti atau lebih mudah diharungi terdapat di Jalan Tun Razak itu juga.
Di situlah terletak Istana Budaya, Balai Seni Negara dan Perpustakaan Negara. Kesemua institusi itu adalah penyumbang kepada kehidupan yang berharga bagi seseorang, iaitu sebelum jatuh sakit dan dihantar ke hospital di seberang.

Hospital Kuala Lumpur mula di­buka pada tahun 1870 oleh pentadbir kolonial British. Ia adalah hospital ke­rajaan ketiga. Hospital pertama dibina adalah di Bangsar, tetapi ia hanya untuk orang British di Kuala Lumpur.

Untuk orang bukan British, mereka membina Hospital Tanglin berhampiran Lake Gardens. Kini ia menjadi Klinik Kesihatan Tanglin.

Tetapi apabila keperluan perkhid­matan mendesak kerana banyak pekerja lombong dan ladang jatuh sakit akibat malaria, maka sebuah hospital awam didirikan yang kini menjadi Hospital Kuala Lumpur.

Pada zaman itu, banyak pesakit mati kerana tidak sempat sampai ke hospital. Ia berlaku kerana pengangkutan ketika itu masih menggunakan kereta lembu.

Apabila seseorang pekerja lombong di Ampang jatuh sakit dan di­bawa ke Kuala Lumpur dengan menaiki kereta lembu, kebanyakan­nya tidak sempat sampai hospital.

Di sekitar kurun ke-19, tanah perkuburan Islam paling hampir dengan hospital itu terletak di Jalan Ampang dekat dengan Kampong Bharu dan KLCC. Hidup manusia pun berlalu, dari lahir, sihat, sakit dan mati.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas